Marshal konvoi supercar halang laluan trafik ditahan polis
KUALA LUMPUR – Dua pemandu kereta mewah yang bertindak sebagai ‘marshal’ ditahan polis selepas dipercayai menghalang kenderaan lain bagi memberi laluan kepada konvoi ‘supercar’ di bulatan Lebuh Kota Iskandar, Iskandar Puteri, Johor Bahru, semalam.
Kedua-dua lelaki tempatan berusia 54 dan 65 tahun itu ditahan selepas video berdurasi 25 saat yang memaparkan tindakan mereka itu tular di media sosial.
Timbalan Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Superintendan Saifullah Jaya berkata, polis bertindak selepas menerima aduan awam berhubung kejadian berkenaan.
Menurutnya, hasil risikan mendapati konvoi kenderaan mewah itu dalam perjalanan dari Puteri Harbour menuju ke pusat bandar Johor Bahru.
“Polis berjaya menahan kedua-dua pemandu untuk merakam keterangan mereka,” katanya dalam kenyataan semalam.
Beliau berkata, empat saman turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan berkaitan ketidakpatuhan terhadap spesifikasi kenderaan ditetapkan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 110 Akta Pengangkutan Jalan 1987 berkaitan halangan dan gangguan, manakala kenderaan terbabit turut disita untuk tindakan lanjut.
Saifullah berkata, polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang bertindak sebagai pengiring konvoi secara tidak sah dengan menghalang lalu lintas atau memberhentikan kenderaan lain.
“Tindakan sedemikian bukan sahaja melanggar undang-undang, malah boleh membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain,” katanya.
Video yang tular itu memaparkan dua pemandu terbabit memberhentikan kenderaan lain bagi memastikan semua kenderaan dalam konvoi berkenaan dapat melalui bulatan berkenaan tanpa gangguan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








