
Konvoi motosikal ke lapangan terbang dipersoal, JPJ diarah adakan sekatan – Anthony Loke
KOTA BHARU – Tindakan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Kelantan yang didakwa merancang penganjuran konvoi motosikal ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab oleh Menteri Pengangkutan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kawasan lapangan terbang merupakan kawasan strategik yang perlu dipelihara tahap keselamatannya bagi memastikan kelancaran operasi serta pergerakan penumpang tidak terganggu.
Menurutnya, sebarang aktiviti konvoi bermotor di kawasan berkenaan seharusnya mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa terlebih dahulu.
“Sekiranya berlaku kesesakan hingga menyebabkan penumpang terlepas penerbangan, adakah pihak penganjur akan bertanggungjawab terhadap pampasan tiket mereka?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut mempersoalkan sama ada penganjur telah memperoleh kelulusan rasmi sebelum merancang konvoi tersebut.
Sehubungan itu, beliau berkata Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah diarahkan untuk bekerjasama dengan Polis Trafik bagi melaksanakan sekatan jalan raya di kawasan berkenaan pada petang ini.
“Semua motosikal yang memasuki kawasan lapangan terbang akan diperiksa tanpa pengecualian, termasuk mana-mana wakil rakyat yang terlibat,” katanya lagi.
Beliau menegaskan tindakan itu perlu bagi menjamin keselamatan serta kelancaran operasi lapangan terbang, selain mengelakkan sebarang gangguan kepada pengguna.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








