KKR mohon peruntukan lebih tinggi dalam Belanjawan 2027
KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (KKR) berharap dapat memperoleh peruntukan yang lebih tinggi dalam Belanjawan 2027 bagi memenuhi keperluan pembangunan infrastruktur dan penyelenggaraan kemudahan awam yang semakin meningkat.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kementeriannya telah mengemukakan permohonan peruntukan yang lebih besar berbanding tahun ini dengan mengambil kira keperluan rakyat serta tuntutan semasa sektor pembinaan.
Menurut beliau, sesi dialog bersama pemain industri pembinaan diadakan sebagai platform untuk mendapatkan pandangan dan cadangan yang boleh dipertimbangkan dalam penyediaan permohonan Belanjawan 2027.

“Kita adakan sesi dialog ini supaya mendapat pandangan daripada penggiat industri pembinaan yang boleh membantu kementerian dalam menyediakan permohonan Belanjawan 2027 yang akan dibentangkan pada Oktober nanti.
“Program ini dilaksanakan setiap tahun sebagai sebahagian daripada usaha libat urus kementerian bagi memastikan keperluan industri diambil kira,” katanya selepas menghadiri Sesi Dialog Industri dan Belanjawan 2027 KKR hari ini.

Mengulas isu yang dibangkitkan industri, beliau berkata kebanyakan pemain sektor pembinaan menyuarakan kebimbangan berhubung peningkatan kos bahan binaan, kos operasi, isu tenaga kerja dan cukai yang memberi tekanan kepada operasi mereka.
Bagaimanapun, Alexander menjelaskan data rasmi kerajaan menunjukkan kenaikan kos bahan binaan masih terkawal dan tidak setinggi yang didakwa sesetengah pihak.
“Berdasarkan maklumat Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), memang terdapat kenaikan harga tetapi tidak sampai satu peratus. Kita perlu merujuk kepada data yang tepat dan sahih sebelum membuat sebarang kesimpulan,” katanya lagi.
Beliau turut menyifatkan keadaan harga bahan binaan ketika ini sebagai stabil.
Alexander berkata, sekiranya kementerian menerima peruntukan yang lebih rendah daripada jumlah yang dipohon, KKR tetap komited melaksanakan tanggungjawabnya dengan meningkatkan kecekapan dan keberkesanan proses kerja.
“Kita bukan hanya bergantung kepada sumber kewangan semata-mata, sebaliknya memberi tumpuan kepada keberhasilan terbaik melalui penambahbaikan proses dan peningkatan kecekapan operasi,” katanya lagi.
Beliau turut menegaskan pengagihan peruntukan mengikut agenda kementerian tidak akan dibuat secara sama rata kerana setiap agenda mempunyai keperluan yang berbeza dan akan ditentukan berdasarkan keutamaan semasa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








