BISNES & EKONOMI

MPKK bincang hala tuju RUU Koperasi, cadangan insentif Bajet 2026

KUALA LUMPUR – Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick memaklumkan bahawa Rang Undang-Undang (RUU) Koperasi kini berada pada fasa akhir penggubalan dan dijangka akan dibentangkan di Parlimen pada awal Disember 2025.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perundingan Koperasi Kebangsaan (MPKK) Bilangan 2/2025 yang diadakan di Menara Kembar Bank Rakyat di sini, hari ini.

MPKK bincang hala tuju RUU Koperasi, cadangan insentif Bajet 2026
Menteri Pembangunan Koperasi dan Usahawan Datuk Ewon Benedick mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perundingan Koperasi Kebangsaan (MPKK) Bilangan 2/2025 yang diadakan di Menara Kembar Bank Rakyat di sini, hari ini.

Menurut beliau, sehingga kini sebanyak 18 sesi libat urus telah dilaksanakan melibatkan penyertaan 47 agensi kerajaan, koperasi premier, federasi, ANGKASA, universiti tempatan serta pentadbiran kerajaan negeri termasuk Sabah, Pulau Pinang, Johor, Pahang dan Sarawak.

“Saya mengucapkan berbanyak terima kasih atas pandangan dan maklum balas yang diterima dalam usaha kita menambah baik penggubalan RUU Koperasi ini. KUSKOP menyasarkan pewartaan Akta Koperasi baharu pada Jun 2026 dan dikuatkuasakan selewat-lewatnya pada Disember 2026,” katanya lagi.

Mengulas mengenai cadangan insentif untuk Bajet 2026, beliau berkata mesyuarat MPKK kali ini diadakan lebih awal bertujuan membolehkan gerakan koperasi menyuarakan pandangan dan saranan bagi memastikan keperluan sektor koperasi tidak terpinggir dalam bajet akan datang.

“Saya amat berharap anggota-anggota MPKK dapat menyumbangkan idea dan cadangan insentif bajet untuk dibawa ke Kementerian Kewangan dalam tempoh terdekat.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada ahli-ahli MPKK yang telah mengemukakan cadangan kepada urus setia lebih awal,” katanya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Ewon turut menzahirkan penghargaan atas kejayaan penganjuran sambutan Hari Koperasi Negara 2025 (HKN’25) yang berlangsung dari 25 hingga 27 Julai lalu di Melaka, dan disempurnakan penutupannya oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata program itu berjaya menarik lebih 58,000 pengunjung, melepasi sasaran awal sebanyak 50,000 orang. Sepanjang tempoh penganjuran, jumlah jualan koperasi dan usahawan mencapai lebih RM1.1 juta, manakala potensi jualan pula dianggarkan sekitar RM22 juta.

Kejayaan itu mencerminkan relevannya peranan koperasi dalam pembangunan sosio-ekonomi masyarakat dan memberi impak yang signifikan kepada ekosistem koperasi negara.

“Saya ucapkan tahniah kepada KUSKOP, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), agensi-agensi kerajaan negeri Melaka, IKMa, ANGKASA, Bank Rakyat, CBP serta seluruh warga koperator yang menjayakan HKN’25,” katanya lagi.

Dalam mesyuarat MPKK kali ini, tiga kertas pembentangan turut dijadualkan untuk dibincangkan dan semua anggota MPKK digalakkan memberikan pandangan dan saranan bagi memperhalusi isu-isu berkaitan sektor koperasi.

Beliau turut meminta semua wakil kerajaan negeri membawa pulang hasil perbincangan ke peringkat kerajaan negeri masing-masing untuk tindakan susulan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button