JKR perkukuh tindakan hadapi Monsun Timur Laut
KUALA LUMPUR – Jabatan Kerja Raya (JKR) meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2025/2026 dengan menggerakkan Bilik Gerakan Bencana (BiGBen) dan Sistem Pengurusan Bencana (eBencana) bagi memastikan tindakan pantas dapat dilaksanakan sekiranya berlaku bencana.
Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam kenyataan menegaskan, langkah itu adalah pendekatan bersepadu sebagai pusat sehenti maklumat membabitkan banjir, cerun runtuh, jalan mendap, jambatan runtuh serta pelbagai kejadian lain yang menjejaskan jaringan jalan Persekutuan dan Negeri.
“KKR dan JKR komited memastikan rangkaian jalan raya di seluruh negara kekal selamat, terhubung dan tidak terputus.
“Usaha ini selaras dengan nilai Malaysia MADANI yang menekankan kesejahteraan rakyat,” jelas kenyataan itu.
Di bawah kerangka Malaysia MADANI, BiGBen berperanan sebagai pusat pengurusan bencana utama JKR dengan memberi penekanan terhadap aspek kemanusiaan dan inovasi.
Menurut kenyataan itu, JKR turut dipertanggungjawab dalam penyelarasan logistik, aset, perkhidmatan teknikal dan kepakaran kejuruteraan selaras Arahan NADMA No. 1.
“Bagi persediaan, JKR telah menempatkan 2,570 kaki Jambatan Bailey di tujuh stor strategik di seluruh negara termasuk Kedah, Pahang, Negeri Sembilan, Johor, Selangor, Kelantan dan Perak, manakala Melaka serta Terengganu turut memperoleh jambatan sama menggunakan peruntukan MARRIS 2025,” katanya.
Selain itu, kerjasama bersama syarikat konsesi jalan turut diperkukuh melalui tiga fasa utama iaitu sebelum, semasa dan selepas bencana.
“Langkah itu meliputi penyediaan papan tanda sementara, pembersihan longkang lebih kerap, pemantauan paras air, kerja tampalan jalan dalam tempoh 24 jam serta pembaikan segera struktur yang rosak,” katanya.
Orang ramai dinasihatkan menyemak status laluan sebelum memulakan perjalanan melalui portal bencana.jkr.gov.my, aplikasi eBencana JKR atau laman Facebook rasmi BiGBen.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







