Siasatan geoteknikal tentukan keselamatan cerun runtuh di Paya Terubong – Nanta Linggi
PULAU PINANG – Jabatan Kerja Raya (JKR) akan bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bagi menjalankan siasatan geoteknikal menyeluruh di lokasi runtuhan cerun di Jalan Paya Terubong, Ayer Itam.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, hasil siasatan itu akan menjadi asas penting dalam pelan pembaikan jangka panjang bagi memastikan kestabilan struktur cerun dan mengelakkan risiko kejadian berulang.
“Penilaian teknikal ini bukan sahaja akan mengenal pasti tahap keselamatan semasa cerun malah membantu merangka strategi pemulihan yang lebih mampan demi kesejahteraan penduduk setempat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, walaupun runtuhan berlaku sekitar pukul 1.30 petang tadi, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.
Katanya, JKR Pulau Pinang turut mengambil tindakan segera dengan menutup kawasan cerun menggunakan kanvas bagi mengurangkan risiko runtuhan susulan.
Menurutnya lagi, langkah pantas itu hasil penyelarasan erat pelbagai agensi termasuk Pejabat Daerah, PDRM, Bomba, APM, pejabat ADUN Paya Terubong dan ADUN Air Itam serta pihak berkuasa tempatan.
“Kerajaan melalui JKR akan terus memberi keutamaan kepada aspek keselamatan rakyat, terutama di kawasan cerun berisiko tinggi. Saya menghargai komitmen semua pihak yang terlibat,” jelasnya.
Nanta menambah, kementeriannya akan memantau rapat perkembangan siasatan serta memastikan kerja-kerja pembaikan dapat dilaksanakan secepat mungkin.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








