JKDM Pulau Pinang serbu stor ladang sawit proses minuman keras tidak bercukai
BUTTERWORTH – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang menyerbu sebuah stor dalam ladang kelapa sawit di Sungai Dua yang dipercayai dijadikan kilang pemprosesan minuman keras tidak bercukai, dalam satu operasi baru-baru ini.
Pengarah JKDM Pulau Pinang, Datuk Rohaizad Ali berkata, serbuan oleh pasukan Bahagian Penguatkuasaan itu dibuat hasil maklumat dan risikan, sebelum menemui botol berlabel pelbagai jenama yang mengandungi cecair disyaki minuman keras.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut turut menemukan tong berisi etanol serta pelbagai peralatan memproses minuman keras termasuk gulungan setem cukai kastam palsu, peralatan pembungkusan, mesin pemasang penutup botol dan pelekat label.
“Sebanyak 10,391 botol atau 4,208.7 liter minuman keras jenis wiski tanpa cukai berjaya disita dengan nilai keseluruhan RM717,963, termasuk cukai berjumlah RM516,072,” katanya pada sidang media di Kompleks Pencegahan JKDM Negeri di sini, semalam.
Rohaizad berkata, sebahagian minuman keras berkenaan telah dilekatkan setem cukai kastam, namun ketika serbuan dijalankan premis tersebut tidak berpenghuni.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti pemilik premis dan semakan awal mendapati bil utiliti didaftarkan atas nama seorang individu warga tempatan,” katanya lagi.
Beliau berkata, semua minuman keras yang dirampas dipercayai untuk pasaran tempatan dan telah disita bagi tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 20(1) dan Seksyen 74(1)(f) Akta Eksais 1976.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








