BERITA SEMASA

Nahas UPSI: Alexander arah JKR bantu siasatan kemalangan

KUALA LUMPUR – Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak konsesi penyelenggaraan diarahkan untuk memberi kerjasama terhadap siasatan kemalangan jalan raya yang mengorbankan sejumlah pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) awal pagi ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kerjasama itu termasuk bantuan dalam bentuk nasihat serta kepakaran teknikal sekiranya diperlukan oleh pihak berkuasa.

Tegas Alexander, kementeriannya akan terus memantau perkembangan siasatan dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa dalam usaha memastikan keadilan dan keselamatan awam terjamin.

“Saya juga memohon jasa baik orang ramai untuk memberikan ruang kepada pihak berkuasa agar siasatan dapat berjalan dengan lancar dan menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Baca juga : Zambry ucap takziah, KPT hulur sumbangan kepada mangsa nahas UPSI

Dalam kejadian pukul 3.40 pagi tadi, 14 pelajar UPSI dan seorang kelindan disahkan maut apabila bas yang dinaiki mereka terbabas selepas melanggar bahagian belakang sebuah kenderaan pelbagai guna.

Sementara itu, Alexander turut meluahkan rasa sedih dan dukacita susulan insiden kemalangan tragik terbabit dan berharap agar semua mangsa yang cedera segera diberikan kesembuhan.

“Saya ingin merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa yang terkorban dalam insiden ini.

“Kehilangan 15 nyawa muda bakal pendidik negara adalah satu tragedi besar kepada negara. Saya berdoa agar mangsa yang cedera diberikan kekuatan dan kesembuhan yang segera,” katanya.

Mengulas lanjut, Alexander mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan yang telah bertindak pantas sejak awal pagi tadi bagi membantu mangsa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button