Pelaksanaan smart lane berkesan turunkan kadar kemalangan
KUALA LUMPUR – Keberkesanan pelaksanaan smart lane di lebuh raya negara terbukti apabila kadar kemalangan di beberapa lokasi utama berjaya diturunkan.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, dapatan analisis keselamatan menunjukkan, pelaksanaan smart lane di laluan seperti Putra Mahkota-Southville menunjukkan pengurangan kadar kemalangan sehingga 22 peratus, manakala laluan Rawang-Persimpangan Rawang merekodkan penurunan ketara iaitu 74 peratus, berbanding tempoh sebelum pengaktifannya.
“Secara keseluruhannya, kadar kemalangan di zon smart lane sangat rendah dan tidak signifikan jika dibandingkan dengan jumlah kenderaan yang melalui zon tersebut,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Alexander berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Manndzri Nasib (BN-Tenggara) yang ingin tahu jumlah kemalangan di smart lane serta mekanisme pemantauan keselamatan kementerian bagi memastikan pelaksanaan inisiatif tersebut tidak meningkatkan risiko kemalangan jalan raya terutamanya pada musim perayaan.
Sebagai rekod, inisiatif smart lane merupakan pengaktifan lorong kecemasan untuk kegunaan kenderaan ringan bagi menambah kapasiti laluan, terutamanya semasa waktu puncak atau musim perayaan, bagi mengurangkan kesesakan di lebuh raya.
Nanta memaklumkan kebanyakan insiden kemalangan direkodkan bukan berpunca daripada reka bentuk jalan, sebaliknya disebabkan kecuaian manusia seperti memandu laju di zon smart lane, pertukaran lorong secara berbahaya tanpa memberi isyarat dan penggunaan lorong kecemasan di luar waktu operasi smart lane (pencerobohan lorong).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








