Sektor perikanan darat tunjuk pertumbuhan positif, pendaratan ikan naik 2.3 peratus
KUALA LUMPUR – Pendaratan ikan meningkat 2.3 peratus kepada 9,653 tan metrik bernilai RM191 juta pada 2024, berbanding 9,434 tan metrik tahun lalu, sekali gus menunjukkan sektor perikanan darat mencatat pertumbuhan positif.
Menurut Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, kejayaan itu merupakan hasil daripada pelaksanaan kawalan serta pembendungan pembiakan dan penyebaran spesies ikan perosak di sungai, tasik dan kolam penternakan.
Beliau berkata, Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) telah melaksanakan 31 siri program pemburuan sejak tahun 2022 sehingga berjaya mengeluarkan 8.8 tan metrik ikan asing dengan kerjasama agensi badan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat.
“Sebanyak 101 siri inventori perikanan darat telah diadakan sepanjang Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK Ke-12) bagi memantau biodiversiti dan mengesan spesies asing.
“Usaha ini diperkukuh dengan program kesedaran kepada orang ramai, kolaborasi bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pemburu ikan asing, serta kemudahan saluran aduan termasuk sistem MYFirst yang akan mula beroperasi pada tahun 2026,” katanya menjawab pertanyaan Datuk Dr. Alias Razak (PN-Kuala Nerus) di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Dr. Alias bertanya mengenai keberkesanan langkah-langkah yang telah dilaksanakan oleh kementerian bagi mengawal serta membendung pembiakan dan penyebaran spesies ikan perosak yang mengganggu ekosistem ikan air tawar tempatan, termasuk di sungai, tasik dan kolam penternakan.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, bagi menyeimbangkan ekosistem, sebanyak 53 juta ekor ikan asli pelbagai spesies telah dilepaskan ke perairan umum.
“Dari aspek perundangan, jabatan bersama kerajaan negeri sedang mengemas kini Kaedah-Kaedah Perikanan (Sungai) untuk memasukkan larangan pelepasan ikan asing yang memperuntukkan denda sehingga RM20,000,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








