465 kes pencerobohan tanah milik Kerajaan Persekutuan sejak 2015 – Johari
KUALA LUMPUR – Sebanyak 465 kes pencerobohan direkodkan di atas tanah milik Kerajaan Persekutuan di seluruh negara sejak tahun 2015 hingga Mei lalu.
Kementerian Perladangan dan Komoditi berkata dalam satu kenyataan berkata, angka itu diperoleh melalui rekod Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG).
Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang turut menjalankan tugas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkata, tindakan penguatkuasaan akan diambil ke atas penceroboh berdasarkan peruntukan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara.
“Tanah milik Kerajaan Persekutuan di seluruh negara meliputi keluasan 215,406 hektar. Tindakan penguatkuasaan sentiasa dijalankan bagi menangani isu pencerobohan yang berlaku.
“Bagi kes di Pulau Pinang sahaja, sebanyak 26 aduan telah diterima melibatkan 18 lot tanah milik Kerajaan Persekutuan,” katanya ketika menjawab pertanyaan lisan Dr. Siti Mastura Muhammad (PN-Kepala Batas) dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
Johari berkata, notis penguatkuasaan akan dikeluarkan kepada pihak yang menceroboh bagi tujuan pengosongan tapak selaras dengan Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (Akta 828).
Menurut beliau, JKPTG juga akan menyelaras tindakan bersama agensi penguat kuasa serta kementerian atau Jabatan Pengguna (KJP) yang terlibat.
“Selepas proses pengosongan dijalankan, kementerian atau KJP yang menggunakan tanah tersebut bertanggungjawab memastikan kawasan berkenaan tidak lagi diceroboh,” katanya.
Menjelaskan lanjut, beliau berkata setiap tanah milik Persekutuan telah dirancang di bawah Rancangan Malaysia, namun pelaksanaannya tertakluk kepada keutamaan semasa dan peruntukan kewangan.
Katanya lagi, bagi memastikan penggunaan tanah secara optimum, JKPTG turut melaksanakan kaedah tukar guna kepada kementerian atau agensi lain yang memerlukan selain kaedah sewaan dan pajakan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








