
Kementerian Digital beri jaminan keselamatan pengguna MyDigital ID
KUALA LUMPUR – Kementerian Digital memberi jaminan bahawa operasi sistem Identiti Digital Nasional atau MyDigital ID menggunakan algoritma yang diperakui dan diiktiraf kerajaan bagi mengelak kecurian dan ketirisan data pengguna.
Menurut Menteri Digital, Gobind Singh Deo, penggunaan algoritma yang diperakui dan diiktiraf kerajaan itu penting bagi memperkukuhkan lagi sistem keselamatan sedia ada MyDigital ID.
Jelas beliau, kerajaan juga telah memperketatkan undang-undang sedia ada bagi mengawal aktiviti kecurian dan ketirisan data.
“Berkaitan dengan model digunakan bagi membangunkan identiti digital, ia tidak menyimpan data peribadi pengguna dan ini adalah strategi utama kepada jaminan keselamatan.
“Ia dapat mengelakkan sebarang ketirian dan kecurian data serta kecurian identiti pengguna. itu juga aspek yang penting untuk kita tengok dan tak mahu identiti pengguna itu dicuri dan sebagainya.
“Setiap pergerakan data pengguna dalam operasi MyDigital ID adalah dalam bentuk one way hash yang menggunakan algoritma SHA-256 yang tidak boleh dibaca sama sekali. Algortima ini adalah diperakui, diiktiraf dan termasuk dalam senarai algoritma kriptografi terpercaya negara atau MySEAL,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan dikemukakan Young Syefura Othman (PH-Bentong) yang bertanyakan mengenai strategi dan jaminan keselamatan oleh kerajaan agar tidak berlaku sebarang kes kecurian data identiti digital.
Terdahulu, Gobind memaklumkan, sebanyak 465,924 pengguna termasuk penjawat awam mendaftar sistem terbabit setakat semalam.
“Bagi menggalakkan pendaftaran dalam kalangan penjawat awam, kios-kios pendaftaran MyDigital ID telah ditempatkan di 199 cawangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan lima cawangan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) seluruh negeri di Malaysia.
“Pihak MIMOs Berhad akan menyebarluas pelaksanaan MyDigital ID kepada pelbagai demografi rakyat Malaysia di bandar serta di luar bandar secara berfasa,” katanya bagi menjawab soalan asal Young Syefura mengenai jumlah pengguna mendaftar MyDigital ID.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








