Siasatan RCI Tabung Haji: Kerajaan bertindak tanpa kompromi
KUALA LUMPUR – Keputusan Jemaah Menteri supaya siasatan penuh berhubung dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) dilaksanakan serta-merta memperlihatkan keseriusan kerajaan memastikan isu berkenaan ditangani tanpa sebarang kompromi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, perkara itu selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim supaya siasatan terhadap dapatan RCI dijalankan sehingga ke peringkat paling menyeluruh.
Menurut beliau, keprihatinan Seri Paduka Baginda turut menekankan kepentingan memelihara amanah serta keyakinan umat Islam terhadap institusi pengurusan haji dan kewangan Islam negara.
“Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menegaskan agar siasatan berhubung dapatan RCI TH dijalankan secara menyeluruh, telus dan tanpa sebarang kompromi sehingga ke lubang cacing.
“Keprihatinan Seri Paduka Baginda turut menggariskan kepentingan memelihara amanah serta keyakinan umat Islam terhadap institusi pengurusan haji dan kewangan Islam negara, selari dengan iltizam Kerajaan MADANI,” katanya dalam sidang khas berkenaan agensi itu di Dewan Rakyat hari ini.
Baca juga : Lebih 75 peratus syor RCI Tabung Haji telah dilaksanakan – Menteri Agama
Sebelum ini, Jemaah Menteri pada 29 Julai lalu bersetuju supaya siasatan penuh dilaksanakan serta-merta oleh badan penguat kuasa berdasarkan dapatan dalam laporan RCI berkenaan.
Susulan keputusan itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memulakan siasatan susulan serta mengambil tindakan terhadap beberapa individu yang dikaitkan dengan perkara yang dinamakan dalam laporan berkenaan.
Beliau berkata, tindakan itu mencerminkan komitmen kerajaan dan badan penguat kuasa untuk tidak berkompromi terhadap sebarang salah guna kuasa atau pecah amanah membabitkan dana TH.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








