Hubungan Tun M, Tun Siti Hasmah wajar jadi teladan pasangan – PU Amin
PUTRAJAYA – Hubungan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali sepanjang lebih tujuh dekad wajar menjadi teladan mengenai peranan seorang isteri dalam mendampingi, menenangkan dan menguatkan suami ketika berdepan pelbagai cabaran kehidupan.
Pendakwah, PU Amin atau nama sebenarnya Mohamad Amirul Amin Maula Lokman Hakim berkata, keteguhan pasangan itu mengingatkan kepada sejarah kehidupan Rasulullah SAW yang turut mendapat kekuatan daripada isteri Baginda, khususnya Saidatina Khadijah RA.
“Pemimpin-pemimpin yang hebat di dunia ini pasti bukan di belakangnya tapi di sisinya ada seorang wanita. Hatta Rasulullah SAW menjadi kuat kerana Khadijah RA. Jadi kuat kerana isteri-isteri Nabi SAW.
“Begitu juga Tun dan seluruh pemimpin yang lain. Mesti ada pendamai, penenang dan pemujuk yang menyebabkan Tun terus kuat,” katanya ketika ditemui Malaysia Tribune selepas menziarahi pusara Allahyarhamah di Tanah Perkuburan Islam Presint 20, di sini, hari ini.

Beliau berkata, tugas seorang isteri bukan sekadar menyokong dan mendorong suami, tetapi turut menjadi insan yang mampu menenangkan, menasihati dan mendamaikan dalam menghadapi cabaran kehidupan.
“Tipulah untuk mengepalai kerajaan atau menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun tidak ada ujian yang melanda. Mesti ada sedih, kecil hati dan merajuk. Jadi, siapa yang mendamaikan? Isteri.
“Begitu tugas isteri, bukan sekadar menyokong, bukan sekadar mendorong tetapi duduk bersama dan berlembut,” katanya.
PU Amin berkata, pada masa sama, seorang suami yang memegang peranan sebagai pemimpin dalam keluarga perlu bersedia mendengar pandangan dan nasihat isterinya atas dasar hormat dan kasih sayang.
“Dia mesti mendengar kata-kata dan nasihat daripada isteri bukan kerana takut. Kerana hormat, kerana sayang. Kerana bagi pandangan suami dan isteri itu kedua-duanya Allah SWT reda.

Katanya, hubungan Tun Dr Mahathir dan Allahyarhamah menjadi inspirasi tentang bagaimana hubungan yang dibina dengan baik mampu bertahan dalam tempoh yang panjang.
“Subhanallah, daripada kisah Tun Mahathir dan Tun Siti Hasmah, Allah SWT nak anugerahkan kepada kita satu ilmu. Sebenarnya ada satu hubungan yang panjang Allah SWT jaga, bukan kerana mereka sekadar mempunyai kedudukan tinggi tetapi kerana hubungan yang baik.
“Semakin rapat mereka, semakin mereka tahu bahawa hubungan yang baik itu adalah untuk mengembalikan mereka kembali esok di syurga,” katanya.
Beliau berkata, matlamat akhir sebuah hubungan yang dibina atas dasar kasih sayang ialah agar pasangan dapat dihimpunkan kembali di syurga.

“Kalau kita bercinta di dunia tetapi tidak kekal di syurga, buat apa kita bercinta? Cinta yang sebenarnya ialah cinta kita di syurga nanti, untuk Allah SWT kumpulkan kembali dengan orang-orang yang tersayang.
“Selalu saya sebut, kita meninggal di dunia ini meninggalkan yang disayang untuk berjumpa dengan yang tersayang. Insya-Allah,” katanya.
Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah melangsungka perkahwinan bersama Tun Mahathir pada 4 Ogos 1956 sekali gus hidup bersama selama lebih 70 tahun sebelum menghembuskan nafas terakhir pada 28 September lalu di Institut Jantung Negara (IJN) kira-kira pukul 9.20 pagi.
Jenazah beliau dikebumikan mengikut Istiadat Pengebumian Pembesar Negara di Pusara Negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








