PM bakal umum beberapa perubahan segera
AYER KEROH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membuat beberapa pengumuman berkaitan perubahan segera yang akan dilaksanakan kerajaan mulai penghujung bulan ini.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, pengumuman berkenaan akan meliputi dasar kerajaan, perkara dalaman PH, kerjasama dalam kerajaan perpaduan serta program nasional.
“Jadi saya harap esok, selepas kita mendengar perbahasan hari ini dan esok, saya akan menjawab perkara yang boleh saya jelaskan berkaitan dasar, perkara dalaman parti dan PH, kerajaan perpaduan serta program nasional.
“Kedua, menjelang Hari Kebangsaan pada 30 Ogos, saya akan berkongsi pandangan saya sebelum hari bersejarah 31 Ogos, seterusnya menuju Hari Malaysia pada 16 September di Kuching, Sarawak. Selepas itu, saya akan cuba merumuskan beberapa perubahan segera yang perlu dilaksanakan dalam Belanjawan 2027 pada Oktober ini.
“Saya mempunyai tiga pencapaian penting ini dan insya Allah, kita akan melaksanakannya sebaik mungkin,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Kongres Nasional PKR 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), hari ini.
Sementara itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengakui kegagalan menterjemahkan dasar kerajaan secara berkesan adalah berpunca daripada kekurangan dalam komunikasi kepimpinan.
“Bukan asasnya yang salah, tetapi kelemahan kita sendiri kerana tidak mempunyai kemahiran untuk berkomunikasi dengan berkesan dan mungkin kerana ada perkara tertentu yang masih belum dimuktamadkan.
“Kita tidak boleh menafikan satu perkara, prestasi ekonomi adalah baik dan semua angka menunjukkan pencapaian yang memberangsangkan, termasuk unjuran Bank Negara yang boleh mencecah sehingga enam peratus bagi suku ini. Namun, ia tidak akan menyentuh dan meraih hati rakyat jika komunikasi kita lemah,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








