Kerjasama pertahanan Malaysia-Lubnan diperkukuh, MoU baharu diteroka
BEIRUT / MARAKAH, LUBNAN – Malaysia dan Lubnan bersetuju memperkukuh kerjasama pertahanan, termasuk meneroka cadangan Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Pertahanan serta meneruskan peluang latihan menerusi Malaysian Defence Cooperation Programme (MDCP).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkara itu dibincangkan dalam pertemuan dua hala bersama Menteri Pertahanan Negara Lubnan, H.E. Major General Michel Menassa di Kementerian Pertahanan Negara Lubnan, sempena lawatan rasmi beliau ke negara berkenaan.
Siri lawatan rasmi itu dimulakan dengan ketibaan beliau di Lapangan Terbang Antarabangsa Beirut-Rafic Hariri yang disambut oleh Brigadier General Antoine Kmeid, mewakili Menteri Pertahanan dan Panglima Angkatan Tentera Lubnan.
Terdahulu dalam perjalanan ke Lubnan, Mohamed Khaled turut mengadakan pertemuan transit di Istanbul bersama Ketua Institut Peperangan Laut Universiti Pertahanan Nasional Türkiye, Rear Admiral Emin Yilmaz.
Semasa di Kementerian Pertahanan Negara Lubnan, Mohamed Khaled yang diiringi H.E. Major General Michel Menassa turut menyertai Upacara Meletakkan Karangan Bunga (Wreath-Laying Ceremony) sebagai tanda penghormatan ketenteraan kepada para perwira negara berkenaan.
Beliau berkata, Lubnan antara rakan terawal Malaysia di Asia Barat sejak 1960-an dan hubungan pertahanan antara kedua-dua negara perlu terus diperkukuh, termasuk selepas berakhirnya penugasan Batalion Malaysia (MALBATT) di bawah United Nations Interim Force in Lebanon (UNIFIL).
“Kami berbincang untuk memperluas kerjasama pertahanan, termasuk cadangan MoU Kerjasama Pertahanan serta meneruskan peluang latihan melalui Malaysian Defence Cooperation Programme (MDCP). Cadangan ini menerima sambutan baik daripada pihak Lubnan,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, beliau yakin kerjasama pertahanan antara Malaysia dan Lubnan akan terus dipertingkatkan dalam bidang yang dapat memberi manfaat kepada kedua-dua negara.
Selain itu, Mohamed Khaled turut mengadakan kunjungan ke Kedutaan Besar Malaysia di Beirut dan bertemu Duta Besar Malaysia ke Lubnan, TYT Anwar bin Udzir.
Beliau berkata, Kedutaan Malaysia memainkan peranan penting dalam memperkukuh hubungan Malaysia-Lubnan merentas pelbagai bidang, termasuk pertahanan.
“Sejak penglibatan Malaysia dalam UNIFIL sekitar 2007, Kedutaan telah memberikan sokongan dan memudah cara penugasan anggota ATM di sini.
“Meskipun penugasan MALBATT di sini akan berakhir tidak lama lagi, hubungan pertahanan perlu terus diperkukuh, termasuk melalui peranan Kedutaan demi manfaat kedua-dua negara,” katanya.
Dalam kunjungan itu, beliau turut menyempurnakan simbolik penyerahan sumbangan peralatan perubatan dan alat pemadam api sumbangan MALBATT kepada Civil Defense Lubnan yang diwakili Brigadier General Imad Khreich, General Director of Civil Defense.
Sumbangan berkenaan adalah sebahagian usaha Malaysia menyokong kebajikan, bantuan kemanusiaan dan keamanan di Lubnan.

Mohamed Khaled turut merasmikan Mini-Gym sumbangan MALBATT kepada Kedutaan Besar Malaysia di Beirut sebagai salah satu peninggalan sepanjang penugasan pasukan Malaysia di negara itu.
Pada hari kedua lawatan, beliau mengadakan kunjungan ke UNP 2-1, Kem Marakah di selatan Lubnan yang menempatkan MALBATT 850-13.
MALBATT 850-13 adalah kontinjen terakhir Malaysia yang ditugaskan di bawah misi UNIFIL, sekali gus menandakan penghujung kepada komitmen hampir dua dekad penglibatan Malaysia dalam misi pengaman di Lubnan sejak 2007.
Dalam lawatan itu, Mohamed Khaled turut menerima taklimat mengenai perkembangan semasa penugasan MALBATT 850-13, termasuk kawasan tanggungjawab serta persiapan menjelang berakhirnya penugasan MALBATT di Lubnan.
Beliau turut menyaksikan Majlis Simbolik Penyerahan Aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui MALBATT kepada Lebanese Armed Forces (LAF) di Kem Marakah.
Penyerahan itu membabitkan 292 aset dianggarkan bernilai sekitar AS$10 juta, termasuk kenderaan dan pelbagai kelengkapan yang akan diserahkan secara berperingkat sehingga Januari 2027.
Sebahagian aset MALBATT akan dibawa pulang ke Malaysia, dilupuskan di Lubnan dan sebahagiannya diserahkan kepada LAF sebagai sebahagian daripada proses pengunduran.
Aset berkenaan diserahkan secara simbolik oleh Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim kepada wakil LAF,
Brigedier Jeneral Amine El Kai, yang turut disaksikan Duta Besar Malaysia ke Lubnan, TYT Anwar Udzir.
Mohamed Khaled berkata, penyerahan itu mengambil kira manfaat kepada LAF dan masyarakat setempat, khususnya dalam aspek kebajikan, bantuan kemanusiaan dan keamanan.

Mengakhiri lawatan ke Kem Marakah, Mohamed Khaled turut meluangkan masa bertemu anggota MALBATT 850-13 yang sedang melaksanakan amanah negara di bawah misi UNIFIL.
Beliau berkata, pertemuan itu memberi peluang kepadanya melihat sendiri semangat, disiplin dan dedikasi anggota terbabit dalam mendepani cabaran sepanjang misi berkenaan.
“Dalam suasana konflik yang berlarutan, tugas ini menuntut kesiagaan yang tinggi. Sumbangan mereka bukan sahaja kepada keamanan sejagat, malah terus mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








