BERITA SEMASAPMX

Prinsip undang-undang antarabangsa tidak boleh dilaksana secara terpilih – PM

PUTRAJAYA – Undang-undang antarabangsa perlu terpakai secara sama rata kepada semua negara sekiranya mahu mengekalkan kredibiliti dalam sistem global, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut beliau, prinsip-prinsip antarabangsa akan kehilangan wibawa sekiranya ia dilaksanakan secara terpilih, sekali gus menjejaskan keyakinan terhadap asas sistem antarabangsa.

Beliau berkata, dunia ketika ini sedang berdepan perang yang dikenakan terhadap sebuah negara berdaulat, Iran dan rakyatnya, yang menurutnya didorong oleh cita-cita hegemoni Israel di Asia Barat serta dibantu oleh kekuatan ketenteraan Amerika Syarikat.

“Pembunuhan bersasar terhadap pemimpin spiritual, politik dan ketenteraan dilaksanakan dengan ketepatan tinggi, manakala serangan peluru berpandu pula meragut nyawa kanak-kanak yang sedang berada di sekolah.

“Jumlah korban terus meningkat bukan sahaja di Iran tetapi juga di kawasan lain termasuk Gaza dan Lebanon, manakala bandar-bandar bersejarah turut dibom secara sembarangan selain kemudahan air dan tenaga dimusnahkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Forum Ilmuan MADANI yang turut dihadiri Presiden UN Sustainable Development Solutions Network (SDSN) bagi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Jeffrey D. Sachs.

Anwar berkata, sejarah menunjukkan ketidakstabilan di rantau itu jarang kekal terhad dalam sempadan wilayah berkenaan, malah peningkatan konflik kini telah mencetuskan gangguan besar dalam pasaran tenaga global.

Beliau berkata, kerajaan Malaysia baru sahaja mengadakan mesyuarat kecemasan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bagi membincangkan implikasi konflik tersebut yang turut memberi kesan kepada negara.

“Perang ini mempunyai kesan geopolitik dan geoekonomi yang meluas kepada seluruh dunia termasuk komuniti yang berpecah, institusi yang semakin lemah serta hakisan kepercayaan terhadap sistem antarabangsa,” katanya.

Dalam hal itu, Anwar berkata, Malaysia mengambil pendirian berprinsip dengan mengecam agresi Israel serta Amerika Syarikat terhadap Iran, selaras dengan pendirian dwipartisan Parlimen negara ini.

Pada masa sama, beliau menyeru supaya semua pihak menahan diri daripada meningkatkan ketegangan serta menggesa usaha diplomatik diperbaharui di seluruh rantau tersebut.

Katanya, dunia hari ini berdepan akibat ekonomi daripada peperangan yang memberi kesan besar terhadap pengeluaran, merosakkan infrastruktur serta mengalihkan sumber negara kepada perbelanjaan ketenteraan
berbanding pembangunan.

Keadaan itu, jelas beliau, akhirnya membawa kepada kenaikan harga tenaga, peningkatan inflasi, tekanan fiskal yang lebih besar serta kesusahan kepada sebahagian besar rakyat.

“Pada saat dunia berdepan cabaran yang saling berkait, suara seperti beliau mengingatkan kita bahawa banyak masalah global tidak dapat diselesaikan oleh sesebuah negara secara bersendirian.

“Ia memerlukan kerjasama, imaginasi serta komitmen berterusan daripada masyarakat antarabangsa,” katanya.

Anwar turut menegaskan bahawa kelangsungan sistem antarabangsa bergantung kepada kesediaan negara-negara untuk mempertahankan prinsip yang menjadi asas kepada struktur tersebut.

Beliau berkata, masyarakat antarabangsa perlu membuktikan bahawa perlindungan terhadap maruah manusia tidak bersyarat dan keadilan tidak boleh dijadikan alat tawar-menawar demi kepentingan strategik.

“Malaysia, insya-Allah akan terus berdiri teguh mempertahankan prinsip-prinsip ini,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button