BERITA SEMASA

AGC fail permohonan semak semula perintah pelepasan Najib

PUTRAJAYA – Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi, di sini hari ini bagi menyemak semula perintah pelepasan membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak susulan isu pelaksanaan pengampunan bersyarat yang diperkenankan terhadapnya.

Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar mengesahkan perkara itu ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, permohonan berkenaan dibuat berdasarkan perintah yang dikeluarkan mahkamah pada 6 November lalu.

“Permohonan itu bertujuan mendapatkan satu perintah pelepasan baharu, selaras dengan perintah pengampunan bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong pada 18 September lalu,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.

Dalam permohonan itu, AGC memohon mahkamah meneliti semula perintah berkenaan bagi memastikan pelaksanaannya selaras dengan pengampunan yang diberikan kepada Najib.

Pada 6 November lalu, Najib dilaporkan telah menjelaskan denda RM50 juta di kaunter pembayaran hasil dan deposit Mahkamah Tinggi di sini bagi membolehkan baki hukuman penjaranya dijalani menerusi tahanan di rumah.

Bagaimanapun, beliau kembali ke Penjara Kajang selepas menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

AGC sebelum ini memaklumkan pelaksanaan tahanan di rumah itu ditangguhkan sementara bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung tafsiran Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.

Perkembangan terbaharu itu menyusul selepas Mohd Dusuki menyentuh isu kecacatan pada perintah pelepasan berkenaan.

Beliau berkata, penelitian sewajarnya ketika menyediakan dokumen rasmi penting bagi mengelakkan sebarang pertikaian, khususnya berkaitan ketepatan penggunaan istilah undang-undang.

Pada 18 September lalu, Najib mendapat pengampunan bersyarat daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, yang membolehkannya menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.

Menurut Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri, pengampunan bersyarat itu tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.

Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi di sini menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib selepas beliau didapati bersalah atas tiga pertuduhan pecah amanah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram serta satu pertuduhan salah guna kedudukan membabitkan dana SRC International Sdn. Bhd. berjumlah RM42 juta.

Najib mula menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang pada 23 Ogos 2022 sebelum mengemukakan petisyen pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong pada 2 September tahun sama.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button