BERITA SEMASA

BUDI Diesel: Pemilik berdaftar kenderaan diesel persendirian dibenar pindahkan kelayakan kepada individu lain

​PUTRAJAYA – Kerajaan bersetuju memperluas kemudahan pemindahan kelayakan Budi MADANI Diesel (BUDI Diesel) bermula hari ini bagi memastikan subsidi bahan api disalurkan dengan lebih bersasar.

Menurut Kementerian Kewangan, ​pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena Sambutan Hari Malaysia itu membolehkan pemilik berdaftar kenderaan diesel persendirian memindahkan kelayakan BUDI Diesel kepada individu yang benar-benar menggunakan kenderaan tersebut.

“Sebelum ini, kemudahan pemindahan kelayakan hanya terhad kepada ahli keluarga terdekat.

“​Penambahbaikan ini dilaksanakan susulan maklum balas pengguna, khususnya dari Sabah dan Sarawak yang berdepan isu amalan jual beli kenderaan secara “sambung bayar” serta pemilikan lebih dari satu kenderaan diesel dalam sesebuah isi rumah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu katanya, menerusi penambahbaikan itu membolehkan
peluasan pemindahan kelayakan yang mana pemilik berdaftar kini boleh memindahkan kelayakan kepada mana-mana warganegara Malaysia (pemegang MyKad sah) yang layak menerima BUDI MADANI RON95 (BUDI95) dan merupakan pengguna sebenar kenderaan.

“Penerima yang diluluskan boleh menggunakan MyKad sendiri untuk membeli diesel bersubsidi. Pemindahan ini tidak melibatkan sebarang pertukaran hak milik kenderaan,” katanya.

Katanya, pemilik yang mempunyai lebih daripada satu kenderaan diesel persendirian boleh memindahkan kelayakan bulanan kenderaan tersebut kepada maksimum tiga individu lain.

Pada masa sama katanya, pemilik asal kekal layak mendapat kelayakan bulanan bagi kenderaan yang tidak dipindahkan.

“Setiap kenderaan hanya boleh dipindahkan sekali sahaja. B​agi kenderaan jenis jip atau pikap yang layak, pemilik boleh memohon tambahan 100 liter sebulan mengikut syarat yang ditetapkan sebelum permohonan pindah kelayakan dibuat,” katanya.

Sementara itu katanya, ​permohonan baharu boleh dibuat mulai 16 September 2026 secara dalam talian melalui portal www.budimadani.gov.my, atau secara fizikal di mana-mana Pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDNM) serta stesen minyak berdekatan.

“Permohonan pemindahan yang belum selesai diproses setakat 15 September 2026 akan dikembalikan, dan pemohon perlu mengemukakan semula permohonan mengikut ketetapan baharu ini.

“Pemindahan kelayakan yang diluluskan sebelum 16 September 2026 kekal muktamad. ​Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari portal rasmi BUDI MADANI atau menghubungi Pusat Khidmat BUDI MADANI di talian 1300-88-9595 / WhatsApp +603-2631 4595,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button