Spesimen kedua piranha ditemukan di Sungai Klau
RAUB – Spesimen kedua ikan Red-bellied Piranha (Pygocentrus nattereri) ditemukan seorang pemancing di Sungai Klau, di bawah jambatan RTP, sekali gus menimbulkan kemungkinan lebih daripada seekor ikan berkenaan dilepaskan di kawasan itu.
Penemuan terbaharu itu dikongsi oleh laman Facebook Jejak Air Tawar yang turut mengandaian bahawa ikan berkenaan mungkin telah dilepaskan dalam satu kumpulan di sungai berkenaan.
“Menurut individu yang memaklumkan penemuan itu, spesimen kedua berkenaan turut disertakan dengan rakaman gambar dan video untuk rujukan serta penelitian lanjut.
“Hasil penelitian terhadap rakaman berkenaan mendapati spesimen kedua mempunyai ciri sama dengan Red-bellied Piranha yang ditemui di kawasan berkenaan pada bulan lalu.
“Lokasi penemuan kedua itu pula berada sebelum memasuki kawasan tadahan air Empangan Klau, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada ikan berkenaan dilepaskan terus ke sungai atau di kawasan empangan sebelum bergerak ke hulu,” katanya hari ini.
Sekiranya ia dilepaskan ke sungai, katanya, kawasan yang dikenal pasti berpotensi menjadi lokasi pelepasan adalah sekitar Felda Klau, RTP dan Kampung Sungai Klau.
Bagaimanapun ujarnya, kemungkinan ikan berkenaan sudah membiak di Sungai Klau masih belum dapat disahkan.
“Perkara itu penting untuk diberi perhatian kerana walaupun Red-bellied Pacu daripada keluarga sama, iaitu Serrasalmidae, setakat ini belum dikesan berjaya membiak di perairan berkenaan meskipun bersifat invasif.
“Red-bellied Piranha pula diketahui lebih sensitif berbanding Red-bellied Pacu dan memerlukan parameter air serta habitat yang benar-benar sesuai untuk hidup dan membiak.
“Namun, perbezaan genus antara kedua-dua spesies, iaitu Pygocentrus dan Piaractus, serta mekanisme evolusi yang berbeza menyebabkan kemungkinan Red-bellied Piranha membiak di Sungai Klau tidak boleh diketepikan,” katanya.
Dari aspek iklim katanya, keadaan di Malaysia juga tidak terlalu berbeza dengan kawasan asal spesies berkenaan, walaupun ekosistem sungai adalah berbeza.
Berdasarkan saiz kedua-dua spesimen yang ditemui setakat ini, ia kelihatan hampir sekata, memberi petunjuk kemungkinan kedua-duanya berasal daripada kumpulan yang sama dan baru dilepaskan.
Sebaliknya katanya, jika penemuan akan datang menunjukkan spesimen dengan saiz yang berbeza-beza, keadaan itu perlu diberi perhatian dan penelitian lanjut kerana berpotensi memberikan petunjuk berhubung pembiakan spesies berkenaan.
“Orang ramai khususnya pemancing dan nelayan di sekitar Klau diminta melaporkan sekiranya menemui ikan yang dipercayai Red-bellied Piranha atau tidak pasti sama ada ia piranha atau Red-bellied Pacu.
“Mereka disaran merakam gambar dan video dengan jelas serta menyimpan spesimen berkenaan dengan membekukannya bagi membolehkan ia diambil untuk rujukan dan kajian lanjut,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








