BERITA SEMASA

Betty Banafee mohon maaf secara terbuka kerana ingkar perintah mahkamah

KUALA LUMPUR – Penyanyi dan pelakon, Betty Banafee hari ini memohon maaf secara terbuka susulan dakwaan melanggar perintah injunksi mahkamah yang dikeluarkan pada 11 September 2024.

Betty atau nama sebenarnya, Ibtisam Betty Banafee Sekh Abu Bakar, membuat permohonan maaf itu menerusi hantaran di akaun Instagram miliknya pada Ahad.

Tindakan berkenaan susulan beberapa hantaran dan video yang dimuat naik menerusi akaun TikTok, Instagram dan Facebook miliknya, yang didakwa bercanggah dengan perintah mahkamah serta berpotensi menjejaskan imej sebuah syarikat perkapalan milik Bumiputera di Johor.

Menerusi hantaran berkenaan, Betty turut mengesahkan semua hantaran yang berkaitan sudah dipadam pada tahun lalu.

“Saya Betty Banafee, pada 20 September 2026, memohon maaf kepada Mahkamah Yang Mulia ini kerana telah melanggar terma Perintah Injunksi Ad-Interim bertarikh 11 September 2024.

“Pelanggaran tersebut adalah berkenaan hantaran dan video yang telah saya muat naik dalam akaun TikTok, Instagram dan Facebook milik saya pada 1 September 2024, 8 September 2024 dan 2 Disember 2024, yang bertentangan dengan terma-terma Perintah Injunksi Ad-Interim tersebut.

“Setakat ini, semuanya sudah dipadamkan pada tahun lepas, 2025,” katanya.

Betty turut menzahirkan kekesalan atas tindakan berkenaan selain berjanji untuk mematuhi proses dan perintah mahkamah pada masa akan datang.

“Saya kesal dan memohon maaf atas kesemua kesulitan yang dihadapi dan mengakujanji untuk mematuhi perintah Mahkamah Yang Mulia termasuk Perintah Injunksi yang diberikan oleh Mahkamah Yang Mulia pada 4 Mac 2025,” katanya.

Sebelum ini, Betty bersama adiknya, Shakib Abu Bakar Banafee, dilaporkan bersetuju untuk membuat permohonan maaf di Mahkamah Tinggi Johor Bahru berhubung perkara sama.

Baru-baru ini, peguam yang mewakili syarikat perkapalan berkenaan, Datuk Arthur Wang Ming Way dalam kenyataannya berkata, kedua-dua beradik itu sebelum ini turut menerima permohonan komital berhubung perbuatan berkenaan.

Pada September 2024, Betty dan adiknya mencetuskan kontroversi selepas membuat beberapa kenyataan yang mempersoalkan siasatan polis berhubung satu kes yang kemudiannya diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button