BERITA SEMASA

Wee Ka Siong puas hati prestasi empat calon MCA pada PRN Melaka

AYER KEROH – Kesungguhan empat calon MCA yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, termasuk dua muka baharu yang berjaya membentuk pasukan jentera kempen dalam tempoh kurang 24 jam, mendapat pujian Presiden parti itu, Datuk Seri Wee Ka Siong.

Beliau berkata, dua calon penyandang mempunyai kelebihan dari segi pengalaman serta rekod perkhidmatan kepada masyarakat, manakala dua calon baharu membuktikan komitmen tinggi meskipun menerima mandat bertanding dalam tempoh yang singkat.

Menurutnya, kedua-dua penyandang bukan sahaja mempunyai pengalaman memegang portfolio penting, malah sudah lama membina hubungan dengan penduduk di kawasan masing-masing.

“Mereka ini sudah lama bertapak di situ dan walaupun serangan bertubi-tubi, nampaknya mereka dapat menyerap apa juga serangan dan dapat membalasnya dengan mungkin maklum balas rakyat sendiri.

“Mereka masih lagi bekerja kuat dan tidak menganggap itu satu perkara yang mudah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas pelancaran manifesto BN-PN bagi PRN Melaka ke-16 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Ka Siong berkata, komitmen kedua-dua penyandang terhadap masyarakat dapat dilihat menerusi kehadiran mereka dalam pelbagai situasi, termasuk ketika penduduk berdepan bencana, kematian mahupun majlis keramaian.

Katanya, khidmat yang diberikan bukan sekadar bermusim atau hanya tertumpu ketika kempen pilihan raya, sebaliknya telah dilaksanakan secara berterusan sepanjang tempoh menjadi wakil rakyat.

Dalam pada itu, beliau turut menyifatkan keupayaan dua calon baharu MCA membentuk pasukan kempen dalam masa singkat sebagai satu pencapaian yang membanggakan.

“Dalam tempoh tak sampai 24 jam dapat mengumpulkan, menghimpunkan satu pasukan yang agak mantap dan bergerak pada hari keesokannya.

“Nampaknya hari ini mereka telah menyantuni rakyat dan menyatakan hasrat mereka bagaimana mereka nak bertanding, apa yang mereka nak tawarkan kepada rakyat,” katanya.

Tambahnya, isu dan tawaran yang diketengahkan kedua-dua calon berkenaan juga bersesuaian dengan keperluan serta kepentingan penduduk di kawasan yang ditandingi.

Beliau berharap semangat ditunjukkan calon baharu itu dapat dikekalkan sehingga hari pengundian, khususnya ketika berdepan cabaran di kawasan yang sekian lama dikuasai parti lawan.

“Saya kagum dan saya berharap mereka dapat tingkatkan usaha sehingga mencapai sesuatu yang mungkin sebelum ini orang kata kawasan ini memang kita tak boleh menang.

“Memang susah. Beberapa penggal dimenangi oleh parti lawan tetapi dengan adanya semangat ini, ini sebagai satu permulaan. Apa juga kesudahan kita telah melakukan yang terbaik dalam kempen ini,” katanya.

Mengulas mengenai penglibatan pengundi Cina, Ka Siong turut menggesa masyarakat berkenaan supaya keluar mengundi dan tidak memandang ringan kepentingan setiap undi dalam menentukan keputusan pilihan raya.

Katanya, walaupun jumlah pengundi Cina di sesetengah kawasan tidak begitu besar, sokongan mereka tetap mampu memberikan kesan, terutama apabila jurang majoriti kemenangan sebelum ini hanya sekitar 300 hingga 400 undi.

Beliau berkata, pengundi perlu membuat pilihan berdasarkan kemampuan dan komitmen calon dalam memperjuangkan kepentingan masyarakat, bukannya memilih individu yang hanya muncul ketika musim pilihan raya.

“Yang penting, pilih orang yang boleh memperjuangkan nasib mereka dan bukan hadir sebagai bidan terjun dalam keadaan cemas ataupun sampai nak pilihan raya baru keluar,” katanya.

Empat calon MCA yang bertanding pada PRN Melaka kali ini ialah penyandang DUN Machap Jaya, Datuk Ngwe Hee Sem dan DUN Klebang, Datuk Lim Ban Hong.

Dua lagi calon baharu ialah Jasmine Lok Huey Yee yang bertanding di DUN Bandar Hilir serta Melvin Chua Kew Wei di DUN Kota Laksamana.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button