PRN Melaka: Leng Chau Yen sahut cabaran debat MCA, fokus isu infrastruktur
MELAKA – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Hilir, Leng Chau Yen bersedia menyahut cabaran debat yang dikemukakan MCA dengan menegaskan perbincangan perlu berlandaskan dasar dan kepentingan rakyat.
Beliau berkata, pihaknya tidak mempunyai masalah untuk berdebat secara terbuka dan menerima cabaran berkenaan selagi ia berlangsung secara sihat serta telus.
Menurutnya, perdebatan seharusnya menjadi platform untuk calon mengetengahkan dasar, kemampuan dan perancangan masing-masing dalam menangani isu masyarakat.
“Kita terima cabaran dan bukan mahu mengelak. Dari awal hingga sekarang, saya memang bersedia menerima cabaran.
“Kita perlu berdebat secara sihat, telus dan terbuka kepada semua. Perbincangan perlu menyentuh dasar serta perkara yang boleh kita lakukan untuk masyarakat,” katanya kepada Malaysia Tribune hari ini.
Mengulas perkara yang mahu diberi keutamaan sekiranya menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini, Leng berkata, isu infrastruktur antara perkara yang akan diberi perhatian di kawasan berkenaan.
“Masalah infrastruktur memerlukan pemantauan berterusan kerana aduan penduduk boleh berlaku pada bila-bila masa,” katanya lagi.
Beliau berkata, penduduk boleh mengemukakan aduan berkaitan kemudahan infrastruktur untuk membolehkan tindakan susulan diambil dengan kadar segera.
“Kita boleh menangani masalah infrastruktur. Sebenarnya, setiap hari memang ada masalah berkaitan infrastruktur.
“Jadi, jika ada perkara yang perlu dilakukan, penduduk boleh membuat aduan dan kita akan berusaha sedaya upaya untuk menyelesaikannya secepat mungkin,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyeru semua pengundi di Melaka supaya menunaikan tanggungjawab masing-masing pada hari pengundian, 14 November ini.
Leng turut memohon sokongan pengundi untuk memilihnya sebagai wakil rakyat Bandar Hilir selain memberikan mandat kepada calon PH lain yang bertanding pada PRN Melaka kali ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














