Kerusi PRN Melaka kekal mengikut pemenang – Asyraf Wajdi
KUALA LUMPUR – Keputusan akhir pembahagian kerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) akan diputuskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Menurut Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, prinsip asas yang dipersetujui oleh gabungan Kerajaan Perpaduan bagi mengekalkan pengagihan kerusi berdasarkan keputusan pilihan raya yang lalu.
“Prinsip asas telah dipersetujui oleh kepimpinan BN dan PH iaitu kerusi yang dimenangi kekal milik parti tersebut. Di Melaka, BN kekal dengan 21 kerusi, PH kekal lima manakala dua kerusi milik Perikatan Nasional (PN) akan dirunding,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Kenyataan tersebut dikeluarkan sebagai reaksi terhadap cadangan strategi agihan kerusi secara sama rata atau “14+14”, yang dikemukakan oleh sembilan cawangan DAP Melaka baru-baru ini.
Sembilan cawangan DAP, melibatkan lebih 100 ahli, meluluskan usul itu secara konsensus semasa Mesyuarat Agung Tahunan yang diadakan pada 6 Mei.
Mesyuarat itu turut dihadiri pimpinan utama DAP Melaka termasuk Pengerusi Negeri, Khoo Poay Tiong; Naib Pengerusi, Leng Chau Yen dan Setiausaha Penganjur, Low Chee Leong.
Asyraf menegaskan formula mengekalkan kerusi sedia ada telah digunakan dalam PRN sebelumnya dan dipersetujui dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi PH-BN.
“Buat masa ini, tumpuan utama harus diberikan kepada usaha menyelesaikan pelbagai isu rakyat serta memajukan negeri dan negara. Insya-Allah, apabila tiba masa yang sesuai, perbincangan dan rundingan akan dimulakan oleh kepimpinan,” jelas beliau.
Sementara itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh turut menolak cadangan DAP tersebut dan menegaskan bahawa BN tidak akan melepaskan sebarang kerusi yang dimenangi dalam PRN lepas, termasuk cadangan agihan kerusi 14-14.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







