Keahlian BERSATU dalam PN gugur secara automatik – Hadi Awang
MARANG – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dianggap terkeluar secara automatik daripada Perikatan Nasional (PN) selepas menyatakan hasrat untuk menubuhkan gabungan politik baharu ketika bertanding secara solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan baru-baru ini.
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, tindakan BERSATU itu bertentangan dengan Perlembagaan PN, sekali gus menyebabkan keahlian parti berkenaan dalam gabungan tersebut terbatal secara automatik.
Menurut beliau, kepimpinan PN tidak perlu mengeluarkan surat rasmi bagi menyingkirkan BERSATU kerana perkara itu telah diperuntukkan dalam perlembagaan gabungan berkenaan.
“BERSATU buat kenyataan hendak buat pakatan lain, dengan sendiri automatik terkeluar (daripada PN).
“Saya rasa tidak perlu surat (penyingkiran secara rasmi). Dalam Perlembagaan kita (PN), kalau orang masuk parti lain, keluarlah,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.
Beliau berkata demikian, ketika ditemui pemberita di pekarangan Masjid Rusila, di sini hari ini.
Pada 17 Julai lalu, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan calon parti itu bagi PRN Negeri Sembilan memaklumkan sebuah gabungan politik baharu akan ditubuhkan sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Bekas Perdana Menteri itu berkata, gabungan yang diterajui BERSATU akan disertai beberapa parti di bawah Ikatan Prihatin Rakyat (IPR), termasuk Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Perkasa) dan Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai).
Sementara itu, Abdul Hadi berkata, PAS terbuka menerima tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu daripada BERSATU yang mengumumkan peletakan jawatan daripada parti berkenaan.
Mereka ialah ADUN Kijal, Datuk Razali Idris; ADUN Telemong, Mohd Zawawi Ismail dan ADUN Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








