BERITA SEMASA

“Kita sentiasa terbuka, rundingan masih berjalan” – Asyraf Wajdi ulas mengenai kerjasama PRN Melaka

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) masih belum menutup pintu dan terbuka untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sebarang keputusan berhubung kerjasama politik itu masih di peringkat perbincangan dalam kalangan kepimpinan parti.

Beliau berkata, BN pada masa ini masih berada dalam jajaran politik sedia ada dan belum mengadakan perbincangan mengenai pembentukan jajaran baharu bagi menghadapi PRN Melaka.

“Setakat ini sedang berunding. Kita tunggu. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pun belum umumkan lagi bila tarikh.

“Jajaran politik baharu? Kita masih lagi jajaran yang sama,” katanya kepada pemberita selepas majlis prapelancaran MARA Automotive Ecosystem (MATEC) 2026 di Menara MARA, di sini, hari ini.

Mengulas pendirian PH yang sebelum ini dilaporkan enggan bekerjasama dengan BN pada PRN Melaka, Asyraf Wajdi berkata BN tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung penolakan kerjasama tersebut.

Katanya, BN menghormati pendirian mana-mana parti dan tidak akan memaksa PH untuk bekerjasama sekiranya parti itu memilih untuk bergerak sendiri.

“Itu kenyataan dia. Kita tak pernah keluarkan apa-apa kenyataan.

“Kalau dia tak nak kerjasama, itu hak dia. Kita tak boleh paksa. Itu parti dia, bukan parti kita. Kita sentiasa terbuka,” katanya.

Menurut Asyraf Wajdi, perkembangan berkaitan kerjasama serta pembahagian jajaran politik bagi menghadapi PRN Melaka hanya akan dapat dipastikan selepas rundingan antara kepimpinan parti selesai.

Beliau pada masa sama berkata, tarikh PRN Melaka juga masih belum diumumkan oleh SPR.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button