JENAYAH & MAHKAMAH

Lelaki berbogel cuba larikan dua kanak-kanak ditahan positif ganja

MELAKA – Seorang lelaki yang berbogel dan dipercayai cuba melarikan dua kanak-kanak berusia 10 dan dua tahun dalam dua kejadian berasingan di Taman Ayer Molek, di sini, malam tadi, ditahan polis.

Suspek berusia 36 tahun itu ditahan pada pukul 8.20 malam selepas berlaku pergelutan dengan bapa mangsa yang turut dibantu orang awam. Pemeriksaan awal turut mendapati suspek mengalami kecederaan di kepala.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Halim Abas berkata, kejadian pertama berlaku kira-kira pukul 8 malam apabila suspek dalam keadaan berbogel dilihat menaiki sebuah kenderaan milik pengadu yang diletakkan di pekarangan rumah.

Menurutnya, anak lelaki pengadu berusia 10 tahun ketika itu berada di dalam kenderaan sebelum pengadu segera mengeluarkannya dan menarik suspek keluar.

“Suspek bagaimanapun bertindak agresif dan enggan beredar dari kawasan berkenaan menyebabkan pengadu menghubungi talian kecemasan 999 bagi mendapatkan bantuan polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kejadian kedua, Halim berkata, seorang lelaki bersama isteri dan anak perempuan mereka berusia dua tahun terserempak dengan suspek di sebuah simpang di Taman Ayer Molek.

“Suspek didakwa cuba merampas telefon bimbit milik isteri pengadu sebelum memegang anak perempuan mereka.

“Pengadu cuba mendapatkan semula anaknya sehingga berlaku pergelutan dengan suspek sebelum polis tiba di lokasi,” katanya.

Suspek kemudian dibawa ke Balai Polis Tiang Dua dan saringan awal air kencing mendapati dia positif THC (tetrahydrocannabinol) atau ganja.

Halim berkata, suspek mempunyai satu rekod kesalahan lampau mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017 dan kini direman tujuh hari sehingga 6 Oktober ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 12(3) dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 14(a) AKSTK 2017, Seksyen 324 serta Seksyen 377D Kanun Keseksaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button