BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Cubaan seludup ganja RM6.2 juta gagal di Kuala Perlis

KUALA PERLIS – Cubaan sindiket membawa masuk ganja bernilai lebih RM6.2 juta dari negara jiran gagal apabila sepasukan anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kedah berjaya mengesan sebuah sampan kayu yang ditinggalkan di kawasan Tambak Persisiran Pantai Bukit Putih, Kuala Perlis, baru-baru ini.

Pengarah Kastam Kedah, Wan Marini Wan Hamzah berkata, serbuan dijalankan hasil risikan Unit Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Jenayah Terancang (AMPOMA) bersama Pasukan Risikan Ibu Pejabat JKDM pada 13 Oktober lalu.

“Dalam operasi sekitar pukul 10 malam itu, pasukan dari Cawangan Penguatkuasaan Marin Langkawi dengan kerjasama Pasukan Tempur Operasi Medan Kastam (COBRA) menemui sebuah sampan kayu yang ditinggalkan bersama empat guni bertulisan Thailand.

“Hasil pemeriksaan mendapati guni berkenaan mengandungi sejumlah besar bahan disyaki dadah jenis bunga ganja dengan berat kasar keseluruhan 67.48 kilogram (kg) dan nilai rampasan dianggarkan bernilai RM6,209,816,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Menurutnya, siasatan awal mendapati dadah tersebut dipercayai dibawa masuk dari negara jiran menggunakan sampan kayu sebelum ditinggalkan di kawasan pantai berkenaan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dadah berbahaya. Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sekurang-kurangnya 15 sebatan,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Marini turut menggesa orang ramai menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan kepada pihak kastam bagi membantu usaha membanteras jenayah tersebut.

“Maklumat boleh disalurkan menerusi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau mana-mana pejabat kastam berhampiran. Identiti pemberi maklumat dijamin dirahsiakan,” ujarnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button