BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Sindiket cap Imigresen palsu, dua lelaki tempatan antara ditahan

PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan satu sindiket pemalsuan cap keselamatan imigresen yang didalangi warga tempatan dan warga asing dalam serbuan “Ops Serkap” di Seri Kembangan, Selangor, awal pagi semalam.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya itu menahan tujuh individu berusia antara 20 hingga 35 tahun, termasuk tiga lelaki dan seorang wanita warga tempatan serta tiga wanita warga Vietnam.

Menurut beliau, hasil risikan mendapati dua suspek lelaki tempatan menaiki bas dari Terminal Bas Larkin, Johor Bahru menuju ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur, sekitar pukul 12 tengah malam.

“Bertindak atas maklumat tersebut, sepasukan pegawai imigresen mengekori kedua-dua suspek sehingga ke sebuah rumah di Seri Kembangan yang disyaki menjadi lokasi persembunyian beberapa individu lain.

“Serbuan ke atas premis berkenaan berjaya menumpaskan sindiket pemalsuan cap keselamatan imigresen yang dipercayai telah beroperasi sejak dua tahun lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

sindiket cap palsu
Sebahagian dokumen yang dirampas dalam operasi JIM melalui “Ops Serkap” di Seri Kembangan, Selangor, awal pagi semalam.

Tambah beliau, pemeriksaan di lokasi menemui lapan pasport warga Vietnam serta dua cap keselamatan disyaki palsu.

Siasatan awal mendapati sindiket berkenaan menyasarkan warga Vietnam, Indonesia dan Thailand yang mahu menetap lebih lama di Malaysia.

Mereka akan mendapatkan ‘khidmat’ sindiket bagi memperoleh cap pengesahan (endorsement) tanpa menyedari bahawa dokumen tersebut adalah palsu.

“Setiap urusan dipercayai dikenakan bayaran antara RM2,500 hingga RM3,000 bagi satu dokumen,” katanya.

Zakaria berkata, semua yang ditahan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966, manakala warga asing terbabit kini ditahan di Depot Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.

Beliau menegaskan, JIM akan terus mempertingkatkan operasi penguatkuasaan di seluruh negara bagi memastikan tiada pihak yang melindungi atau menggaji warga asing tanpa dokumen sah.

“Jabatan tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau pihak yang terlibat dalam aktiviti menyalahi undang-undang bagi memelihara kestabilan dan kemakmuran negara, selaras dengan hasrat Kerajaan MADANI,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button