BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Lebih RM 1 juta dirampas dari sindiket pengurup wang haram Bangladesh

 

PUTRAJAYA – Sebuah sindiket pengurup wang haram yang beroperasi secara licik dari sebuah kondominium mewah di Putrajaya akhirnya tumpas dalam serbuan khas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), semalam.

Lebih mengejutkan, serbuan itu turut menemukan wang tunai berjumlah RM1.2 juta dipercayai hasil aktiviti haram yang berjalan sejak setahun lalu.

Operasi yang dijalankan oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya bermula pukul 7.08 malam di empat lokasi sekitar Putrajaya, berjaya menahan enam lelaki warganegara Bangladesh berusia antara 26 hingga 48 tahun.

Seorang daripada mereka dipercayai dalang utama sindiket pengurup wang yang dikenali sebagai Rohim, manakala lima lagi adalah pelanggan sindiket.

Hasil semakan mendapati hanya seorang daripada mereka memiliki pas penggajian yang sah, manakala lima lagi tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah berada di negara ini.

Turut dirampas dalam operasi itu buku catatan transaksi, dua telefon bimbit serta sebuah kenderaan jenis Perodua Alza yang dipercayai digunakan sindiket tersebut.

Sebahagian daripada wang lebih RM1 juta yang berada dalam premis operasi sindiket Rohim di Putrajaya.

Sindiket itu didapati menjalankan aktiviti pengurup wang tidak berlesen secara tertutup dan menyasarkan warga Bangladesh sekitar Lembah Klang yang ingin menghantar wang ke negara asal masing-masing.

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban berkata, tangkapan dan rampasan itu adalah hasil risikan selama dua minggu serta maklumat awam yang diterima.

“Seorang lelaki akan disiasat mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63, manakala lima yang lain mengikut Seksyen 6(3) akta sama. Mereka kini ditahan di Pejabat Imigresen Putrajaya bagi siasatan lanjut,” katanya.

Selain itu, seorang wanita warga tempatan serta dua lagi lelaki Bangladesh turut diberikan notis hadir ke pejabat bagi membantu siasatan.

Jabatan Imigresen menegaskan komitmennya untuk terus bertindak tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang, selaras dengan prinsip MADANI yang menjunjung integriti, keadilan dan ketenteraman awam.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button