JENAYAH & MAHKAMAH

Lamborghini disita, gagal perbaharui cukai jalan dan insurans

PADANG BESAR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis menyita sebuah kenderaan mewah jenis Lamborghini Revuelto selepas didapati gagal memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM) serta tidak mempunyai perlindungan insurans sah.

Kenderaan itu ditahan dalam rondaan penguatkuasaan di Kilometer 1, Jalan Kuala Perlis–Changlun semalam.

Pengarah JPJ Perlis, Noraini Mohd Nawi berkata, semakan mendapati LKM kenderaan berkenaan tamat tempoh sejak 19 Julai 2025, manakala insurans pula berakhir pada 19 Januari 2026.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan kenderaan berkenaan tidak layak berada di atas jalan raya.

“Siasatan awal mendapati hanya seorang lelaki berusia lingkungan 30-an berada dalam kenderaan tersebut ketika ditahan.

“Kenderaan itu dipercayai dalam perjalanan dari Langkawi ke Johor dan dirancang untuk dipindahkan menggunakan lori pengangkut dari Kuala Perlis,” memetik Buletin TV3 online.

Beliau berkata, tindakan diambil mengikut Seksyen 23 dan Seksyen 90 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Kenderaan itu turut disita di bawah Seksyen 64(1) akta sama bagi tindakan lanjut,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan semua pemilik kenderaan supaya memastikan cukai jalan dan perlindungan insurans sentiasa diperbaharui bagi mengelakkan tindakan undang-undang diambil.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button