JPJ perkenal NPI Siri ‘FH’ sempena Hari Wilayah Persekutuan 2026
PUTRAJAYA – Orang ramai berpeluang memiliki nombor pendaftaran eksklusif sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan (WP) 2026 apabila Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memperkenalkan Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) siri ‘FH 1 hingga FH 9999’ menerusi Sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Dalam Talian JPJeBid, bermula Ahad ini.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, proses bidaan awam tersebut akan dibuka bermula Ahad dan ditutup pada pukul 10 malam, Khamis depan.
Menurut beliau, pengenalan siri ‘FH’ membawa nilai simbolik yang signifikan sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan.
“Pengenalan nombor pendaftaran ‘FH’ ini sangat signifikan sebagai simbolik memperingati penubuhan Putrajaya, selain menghargai peranan dan sumbangan Kuala Lumpur serta Labuan dalam pembangunan negara,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan NPI siri ‘FH’ sempena Hari Wilayah Persekutuan di Perbadanan Putrajaya, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Aedy Fadly berkata, keputusan bidaan awam akan diumumkan dalam tempoh 24 jam selepas pendaftaran ditutup iaitu pada 6 Februari.
Beliau menjelaskan, harga bidaan melalui sistem JPJeBid adalah berdasarkan kategori yang telah ditetapkan iaitu Nombor bernilai utama (Golden) pada harga minima RM20,000, diikuti nombor premium (RM5,000), nombor menarik (RM2,500), nombor popular (RM500) dan nombor biasa (RM300).
“Kaedah penawaran secara bidaan ini tertakluk kepada terma dan syarat yang telah ditetapkan melalui sistem JPJeBid.
“Mana-mana nombor pendaftaran yang berjaya dibida mestilah didaftarkan pada sebuah kenderaan dalam tempoh 12 bulan dari tarikh surat keputusan bidaan rasmi dikeluarkan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







