JPJ keluar 33,402 notis sepanjang Op HRA, lebih 14,000 kenderaan diambil tindakan
IPOH – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesan pelbagai kesalahan jalan raya apabila mengeluarkan sebanyak 33,402 notis hasil pemeriksaan terhadap 172,479 kenderaan di seluruh negara sepanjang Op Hari Raya Aidilfitri (Op HRA) 2026 yang bermula 16 Mac lalu.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, sehingga semalam, sebanyak 14,455 kenderaan telah diambil tindakan, termasuk pengeluaran 1,651 slip pemeriksaan kepada pengguna jalan raya.
Menurutnya, pemeriksaan melibatkan pelbagai jenis kenderaan seperti kenderaan persendirian, motosikal, kenderaan barangan, kenderaan perkhidmatan awam dan bas.
“Daripada jumlah kenderaan yang diambil tindakan itu, sebanyak 289 kenderaan disita atas pelbagai kesalahan termasuk 43 kenderaan barangan yang melanggar larangan pemanduan (roadban) yang sedang berkuat kuasa,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan Pemantauan Operasi Khas Sempena Hari Raya Aidilfitri di Pusat Kawalan Menora, di sini semalam.
Turut hadir, Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan dan Pengarah JPJ Perak, Mohammad Yusoff Abustan.
Mengulas lanjut, beliau berkata operasi kali ini memberi fokus kepada kesalahan utama yang dikenal pasti sebagai penyumbang kepada kemalangan jalan raya.
Katanya, tiga kesalahan tertinggi direkodkan ialah tidak memakai tali pinggang keledar (761 kes), membawa muatan berlebihan (353 kes) dan tidak mematuhi isyarat lalu lintas (317 kes).
“Kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar kekal antara yang tertinggi, bukan sahaja pada musim perayaan malah sepanjang tempoh penguatkuasaan.
“Sehubungan itu, JPJ terus mempergiat usaha advokasi dan kempen kesedaran termasuk mewajibkan pemakaian tali pinggang keledar kepada penumpang bas,” katanya.
Tegas beliau, JPJ tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang jalan raya.
Orang ramai turut diingatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan, memastikan kenderaan berada dalam keadaan selamat serta mengamalkan pemanduan berhemah, khususnya sepanjang musim perayaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







