BUDI RON95: JPJ lanjut waktu kaunter lesen hujung minggu
PUTRAJAYA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menambah waktu operasi kaunter di seluruh negara bagi memberi lebih ruang kepada orang ramai memperbaharui lesen memandu susulan pelaksanaan Sistem Subsidi Bersasar Petrol Budi MADANI RON95 (BUDI RON95).

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, langkah itu akan bermula pada 27 September hingga 26 Oktober ini melibatkan semua pejabat negeri dan cawangan JPJ.
“Kaunter Lesen Memandu dan Kaunter Pelbagai akan beroperasi tambahan pada hari Jumaat dan Sabtu bagi negeri Kelantan, Terengganu serta Kedah, manakala negeri-negeri lain pada hari Sabtu dan Ahad, bermula jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang.
“Inisiatif ini bagi memberi fleksibiliti kepada rakyat khususnya yang berdepan kekangan masa pada hari bekerja untuk memperbaharui lesen memandu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
JPJ memaklumkan, setakat ini terdapat 2.3 juta pemegang Lesen Memandu Kompeten (CDL) tidak aktif iaitu tamat tempoh lebih tiga tahun, manakala 15.2 juta lagi merupakan pemegang lesen CDL aktif.
Aedy Fadly turut berkata, pemegang lesen memandu yang telah tamat tempoh lebih tiga tahun diwajibkan menduduki semula ujian Kurikulum Pendidikan Pemandu (KPP 02 dan KPP 03) di Institut Memandu (IM) berdekatan untuk mengaktifkan semula lesen mereka.
“Bagi pemegang lesen memandu yang tamat tempoh tidak melebihi tiga tahun, pembaharuan boleh dilakukan segera melalui aplikasi MyJPJ, portal mySikap atau kiosk tanpa perlu hadir secara bersemuka di kaunter.
“Dengan penambahan waktu operasi ini, JPJ yakin lebih ramai rakyat dapat memanfaatkan inisiatif kerajaan selain memastikan tahap pematuhan undang-undang jalan raya sentiasa dipertingkatkan melalui lesen memandu yang sah,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















