Tiga jentera Yamaha, Mercedes, Kia antara dipanggil semula JPJ
KUALA LUMPUR – Model motosikal popular keluaran Yamaha iaitu Tenere 700, Tracer 9 GT dan MT09 termasuk antara 8,322 unit kenderaan yang dipanggil semula sebagai langkah keselamatan susulan pengesanan beberapa kecacatan pada komponen kenderaan terbabit oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, antara model yang terlibat dalam tindakan pemanggilan semula itu termasuk motosikal berkuasa tinggi Yamaha Tenere 700, Tracer 9 GT dan MT09, selain model-model terpilih keluaran Kia dan Mercedes-Benz.
“Pemanggilan semula ini dibuat bagi mengelakkan sebarang risiko kemalangan yang mungkin berlaku akibat kecacatan struktur, peralatan atau sistem kenderaan.
“Ia merupakan langkah pencegahan penting untuk memastikan keselamatan pengguna jalan raya terjamin,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Turut disenaraikan dalam panggilan semula itu ialah model Kia RIO UB serta beberapa model mewah Mercedes-Benz seperti S-Class, GLC, AMG SL, EQS dan EQE.
Menurut Aedy, pemilik kenderaan yang terlibat akan dihubungi secara rasmi oleh pihak pengeluar masing-masing bagi tujuan penyelarasan janji temu pemeriksaan dan pembaikan.
“Semua pemilik disaran merancang masa bagi membawa kenderaan mereka ke pusat servis berhampiran agar pemeriksaan dapat dijalankan dengan segera,” katanya lagi.
Beliau berkata, segala kos berkaitan pembaikan atau penggantian komponen akan ditanggung sepenuhnya oleh pihak pengeluar tanpa sebarang bayaran daripada pemilik.
“Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan terus ke pusat jualan atau pusat perkhidmatan sah jenama masing-masing,” tambahnya lagi.
JPJ turut memberi jaminan bahawa pihaknya akan memantau pelaksanaan proses pemanggilan semula itu secara menyeluruh demi memastikan semua unit kenderaan terlibat disahkan selamat digunakan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








