
Tiada kompromi syarikat bas ekspres tiada pemandu kedua – JPJ
GEORGETOWN – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang tidak akan berkompromi kepada sebarang alasan oleh syarikat bas ekspres yang gagal menyediakan pemandu kedua bagi perjalanan melebihi 300 kilometer (km).
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang Zulkifly Ismail berkata, peraturan yang dikenakan kepada syarikat bas untuk menyediakan pemandu kedua juga tertakluk bagi perjalanan yang melebihi empat jam.
Bagaimanapun katanya, pelbagai alasan diberikan oleh syarikat bas ekspres termasuk helah pemandu kedua akan naik di stesen berikutnya.
“Kegagalan menyediakan pemandu kedua merupakan satu kesalahan dan mana-mana syarikat yang didapati ingkar, tindakan akan diambil dengan melarang mereka daripada memulakan perjalanan sehingga peraturan itu dipatuhi.
“Sepanjang tempoh 4 hari operasi sejak 1 April lalu, sebanyak 121 bas telah diperiksa dengan lima diambil tindakan kerana gagal menyediakan pemandu kedua,” katanya kepada pemberita ketika Op Khas Perayaan Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2024 di Terminal Bas Penang Sentral, malam tadi.
Zulkifly berkata, sepanjang empat hari penguatkuasaan dilakukan, sebanyak 1,377 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan daripada 4,553 kenderaan yang diperiksa.
“Selain mengambil tindakan saman, sebanyak 37 kenderaan turut disita. Operasi khas ini akan berakhir pada 20 April ini,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







