Lesen pemandu komersial, perkhidmatan awam digantung serta-merta jika terlibat siasatan – KP JPJ
AMPANG – Lesen pemandu kenderaan perdagangan dan perkhidmatan awam yang terlibat dalam sebarang siasatan pihak berkuasa akan digantung serta-merta.
Menurut Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli, langkah itu adalah salah satu daripada dua tindakan penambahbaikan bagi memastikan pemandu kenderaan perdagangan, termasuk pemegang lesen vokasional lebih berhemah serta mematuhi peraturan di jalan raya.
Pemandu kenderaan perdagangan yang didapati bersalah pula akan dikenakan tindakan gantung lesen dan wajib mengikuti latihan semula untuk mengaktifkan semula lesen atau dikeluarkan dari senarai gantung.
“Sekiranya individu itu didapati bersalah atau dikeluarkan suatu notis pelanggaran peraturan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333], lesen individu itu akan dibatalkan oleh JPJ mengikut peruntukan di bawah Seksyen 56 (4) (b) Akta 333,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Program MyLesen B2 2025 peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Pusat Konvensyen MPAJ, di sini hari ini.
Mengenai latihan semula, ia akan pihak JPJ di lokasi-lokasi yang akan ditetapkan kelak dengan pemandu dikenakan bayaran bagi menampung kosnya.
Beliau berkata, pengisian program itu merangkumi pengajaran semula pengetahuan berkaitan dengan kompetensi pemanduan termasuk peraturan jalan raya, aspek pemanduan selamat, perubahan minda, dan pengendalian kenderaan secara selamat.
“JPJ juga akan menetapkan tempoh masa program yang wajib dilengkapkan dengan jayanya oleh mana-mana individu terbabit.
“Perincian program itu akan dimaklumkan dalam masa terdekat menerusi laman web rasmi www.jpj.gov.my,” katanya.
Aedy Fadly berkata, kedua-dua tindakan penambahbaikan itu berpandukan kepada peruntukan Akta 333 dalam mengawal selia, menguat kuasa peraturan serta memastikan kompetensi pemandu terutamanya kenderaan perdagangan berada pada tahap baik.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







