BERITA SEMASA

Tiada insurans, LKM punca moto ‘rider’ Panda disita JPJ

SEREMBAN – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan terpaksa menyita sebuah motosikal milik pekerja p-hailing seperti yang tular di media sosial adalah berikutan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dan tiada insurans.

JPJ negeri dalam kenyataan hari ini memaklumkan ia juga dilakukan bertujuan menjaga keselamatan penunggang tersebut dan pengguna jalan raya lain kerana tidak dilindungi insurans.

“Unit Operasi JPJ Negeri Sembilan telah mengadakan Operasi Statik di Jalan Persiaran Negeri, Nilai dekat sini semalam bagi mengesan kesalahan lalu lintas yang dilakukan oleh pengguna jalan raya.

“Sepanjang penguatkuasaan tersebut, pelbagai kesalahan telah dikesan dan diambil tindakan termasuk motosikal yang ditunggang oleh penghantar makanan tersebut,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, JPJ sentiasa memandang serius terhadap setiap kesalahan dan individu yang mengabaikan undang-undang atau peraturan, selain akan mengambil tindakan sewajarnya bagi menjaga keselamatan pengguna jalan raya lain.

Tular sejak semalam video memaparkan anggota penguat kuasa JPJ menyita sebuah motosikal pekerja p-hailing menyebabkan penunggang tersebut terpaksa berjalan kaki meninggalkan kawasan sekatan jalan raya itu.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button