Sektor komoditi sumbang RM19.65 bilion kepada KDNK suku pertama 2026 – Noraini
BANGI – Sektor komoditi dan industri berasaskan komoditi menyumbang sebanyak RM19.65 bilion kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada suku pertama 2026, meningkat berbanding RM18.95 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, eksport produk berasaskan komoditi dalam tempoh sama turut menjana RM41.62 bilion kepada negara.
Bagaimanapun, beliau menegaskan pencapaian sektor berkenaan tidak seharusnya dinilai berdasarkan angka semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada peningkatan nilai tambah dalam negara serta pendapatan pekebun kecil dan pemain industri.
Menurutnya, peningkatan eksport perlu disusuli usaha memastikan lebih banyak nilai diwujudkan dalam negara, manakala peningkatan produktiviti harus memberi manfaat secara langsung kepada golongan di peringkat bawahan.
“Dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global, tekanan rantaian bekalan, perubahan kos logistik dan tuntutan kelestarian, kementerian turut memberi tumpuan kepada usaha mengekalkan pasaran sedia ada selain meneroka pasaran baharu.
“China kekal sebagai antara pasaran penting bagi produk agrikomoditi Malaysia, khususnya sektor hiliran dan produk bernilai tambah,” katanya.
Sementara itu katanya, eksport agrikomoditi Malaysia ke India meningkat lebih 50 peratus pada suku pertama 2026 berbanding tempoh sama tahun lalu.
Noraini berkata, kementerian turut memperkukuh agenda peralihan tenaga menerusi Program Biodiesel Negara dan pembangunan industri biobahan api, termasuk meneroka potensi minyak masak terpakai sebagai bahan mentah penghasilan Bahan Api Penerbangan Lestari (SAF).
Perkembangan itu, katanya, menunjukkan sektor agrikomoditi kini berkembang melangkaui aktiviti pengeluaran di ladang, malah memainkan peranan penting dalam agenda tenaga, teknologi, kelestarian dan ekonomi masa depan negara.
Dalam perkembangan berkaitan, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) memperkenalkan sembilan teknologi baharu menerusi Program Pemindahan Teknologi Sawit MPOB 2026.
MPOB turut membangunkan Sawit Intelligent Management System dan GeoSAWIT bagi memperkukuh aspek kebolehkesanan dalam industri.
Pada masa sama, Program Salam Agrikomoditi akan diperluaskan ke kawasan pekebun kecil di seluruh negara bagi mendekati lebih 600,000 pekebun kecil persendirian serta menyampaikan maklumat berkaitan bantuan, pensijilan, insentif dan program pembangunan.
Program itu bermula pada 25 Julai lalu di Negeri Sembilan dan akan diteruskan secara berperingkat dari satu negeri ke satu negeri bagi memastikan kehadiran Kementerian Perladangan dan Komoditi dapat dirasai masyarakat yang bergantung kepada sektor agrikomoditi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








