Ismail Lasim sahkan tandatangani Surat Cara Proklamasi namun dibuat secara paksaan
SEREMBAN – Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim, mendakwa beliau menandatangani Surat Cara Proklamasi yang tular baru-baru ini tanpa kerelaan dan secara paksaan.
Ismail berkata, beliau telah membuat laporan polis kira-kira jam 6 petang pada 8 September 2026 bagi membolehkan siasatan dijalankan pihak berkuasa.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri berpendirian bahawa Surat Cara Proklamasi berkenaan tidak memenuhi proses dan tatacara yang diperuntukkan di bawah Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
“Oleh itu, ia adalah tidak sah, tidak berperlembagaan dan tidak boleh dikuatkuasakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Ismail, Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan yang bersidang pada 8 September turut membincangkan penubuhan Jawatankuasa Pendamai sebagai wadah bagi mencari penyelesaian isu adat secara harmoni, berhemah dan berlandaskan semangat muafakat.
Dalam pada itu katanya, kerajaan negeri turut merujuk Perkara 71 Perlembagaan Persekutuan, yang memperuntukkan Persekutuan menjamin hak dan kedudukan Raja di sisi Perlembagaan.
Ismail berkata, langkah sewajarnya perlu diambil bagi memastikan kemuliaan dan kedudukan Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan terus terpelihara.
“Saya sekali lagi menzahirkan sokongan penuh serta taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Tuanku Muhriz sebagai satu-satunya Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah dan berdaulat,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








