BERITA SEMASA

Diherdik petugas pengiring kerana lewat beri laluan, MB Selangor mohon maaf

SEREMBAN – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari tampil memohon maaf secara terbuka susulan penularan sebuah video di media sosial selepas pegawai pengiringnya mengherdik seorang pemandu kerana didakwa enggan memberi laluan.

Menerusi satu hantaran dalam laman Thread, beliau berkata semakan telah dilakukan berhubung insiden berkenaan dan mengakui kekhilafan yang berlaku.

“Saya secara peribadi memohon maaf atas perlakuan tersebut,” katanya. 

Menurut beliau, teguran telah diberikan kepada petugas yang terlibat oleh pihak pentadbirannya dan langkah sewajarnya akan diambil bagi memastikan kejadian sama tidak berulang pada masa hadapan.

Beliau turut menegaskan komitmen untuk menambah baik aspek penyampaian perkhidmatan serta memastikan semua petugas sentiasa mematuhi tatacara yang ditetapkan.

“Sekali lagi saya memohon maaf atas insiden ini dan menghargai segala teguran yang diberikan,” katanya.

Terdahulu tular video seorang pengguna jalan raya tidak berpuas hati selepas diherdik secara biadab oleh petugas pengiringnya ketika berbaris di sebuah plaza tol.

Menurut akaun Thread Ellianie Hazad, dia meluahkan rasa kecewa dengan sikap seorang anggota pengiring kenderaan MB Selangor yang saya alami petang tadi ketika kesesakan lalu lintas berhampiran plaza tol.

“Dalam keadaan jalan raya yang sesak dan semua kenderaan bergerak perlahan, saya benar-benar tidak mempunyai ruang untuk memberi laluan. Namun, salah seorang anggota pengiring yang menaiki Proton X70 telah menurunkan tingkap dan memaki saya dengan perkataan “bodoh”,” katanya.


SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button