BERITA SEMASABISNES & EKONOMIPMX

Gaji minimum RM2,000 mulai Jun 2027, lebih empat juta pekerja terima manfaat – PM

KUALA LUMPUR – Lebih empat juta pekerja dijangka mendapat manfaat daripada kenaikan kadar gaji minimum kepada RM2,000 sebulan mulai Jun 2027, berbanding RM1,700 ketika ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kenaikan itu bertujuan merapatkan jurang produktiviti dan upah pekerja, selain menangani tekanan kos sara hidup yang timbul apabila pendapatan rakyat tidak meningkat seiring kenaikan harga barangan.

“Bagaimanapun, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan hasil jualan di bawah RM50 juta dikecualikan bagi memberi ruang kepada mereka menyesuaikan model perniagaan masing-masing,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, hari ini.

Baca juga : Belanjawan 2027: Jualan RAHMAH, Agro MADANI terima peruntukan RM750 juta

Anwar berkata, pampasan pekerja kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di Malaysia masih rendah pada kadar 33.9 peratus, sekali gus memerlukan usaha berterusan untuk meningkatkan pendapatan pekerja.

Selain kenaikan gaji minimum, Anwar berkata, kerajaan akan melaksanakan pembaharuan kerangka pendapatan pekerja dengan memperkenalkan gaji minimum RM2,500 sebulan bagi pekerjaan separa mahir dan graduan sebagai permulaan.

Pada sama, Anwar berkata, kerajaan turut menyambut baik komitmen syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang meningkatkan penanda aras gaji sara hidup kepada RM3,400 sebulan berbanding RM3,100 sebelum ini.

“Langkah berkenaan dijangka memberi manfaat kepada 230,000 pekerja,” katanya sambil menyeru GLIC dan GLC turut menunjukkan teladan dalam usaha meningkatkan pendapatan pekerja.

Beliau berkata, beberapa majikan dalam sektor utama termasuk perbankan serta minyak dan gas turut menetapkan kadar gaji yang lebih wajar.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua majikan swasta supaya mengikuti langkah sama dalam memastikan pekerja menerima pendapatan yang setimpal.

Dalam perkembangan berkaitan, Anwar berkata, kerajaan akan mengenakan syarat terhadap tuntutan potongan cukai bagi perbelanjaan gaji oleh syarikat selain PMKS, iaitu pembayaran gaji perlu dibuat melalui akaun bank selaras dengan saluran yang dibenarkan di bawah Akta Kerja 1955.

“Langkah itu katanya, bertujuan menutup ruang kepada majikan menggaji pekerja asing tanpa izin. Syarat berkenaan tidak terpakai kepada tuntutan potongan cukai bagi perbelanjaan lain,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button