Siasatan dedah tuas grenad terlepas sebelum balingan
CYBERJAYA – Siasatan ke atas insiden letupan grenad ketika latihan di di Kem Hobart, Gurun, 16 Jun lalu yang mengakibatkan dua anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terkorban mendapati, tuas keselamatan bahan letupan itu terlepas sebelum balingan dapat disempurnakan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, dapatan itu hasil siasatan Lembaga Siasatan yang ditubuhkan sehari selepas kejadian dan telah melalui semakan di beberapa peringkat pemerintahan Tentera Darat.

“Dalam proses tersebut, keterangan telah diperoleh daripada saksi berkaitan bagi mengukuhkan dapatan siasatan.
“Setelah semua proses diselesaikan, laporan lengkap telah dikemukakan kepada Kementerian Pertahanan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut kenyataan berkenaan, grenad tersebut mempunyai beberapa lapisan keselamatan, iaitu klip keselamatan, pin keselamatan dan tuas keselamatan.
“Grenad mula bekerja (berfungsi) apabila tuas keselamatan dilepaskan daripada badan grenad dan akan meletup dalam tempoh kira-kira lima saat.
“Berdasarkan kedudukan letupan, bukti di lokasi kejadian serta analisis kesan kecederaan, siasatan mendapati tuas keselamatan dipercayai telah terlepas sebelum balingan disempurnakan.
“Pembaling mengalami kecederaan serius pada bahagian kepala dan tangan kanan, manakala pengasuh mengalami kecederaan serius pada bahagian kepala, badan dan anggota sebelah kiri,” kata kenyataan itu.
Jelas kenyataan itu lagi, corak kecederaan pada mangsa adalah selaras dengan dapatan bahawa grenad bekerja sebelum sempat dibaling dan meletup ketika masih berada berhampiran bahagian atas kedua-dua anggota.
“Walau bagaimanapun, ketiadaan saksi yang melihat kejadian secara langsung menyebabkan tidak dapat dipastikan pada ketika mana tuas keselamatan itu terlepas,” katanya lagi.
Mohamed Khaled berkata, susulan dapatan tersebut, Kementerian Pertahanan dan ATM akan memperkukuh prosedur keselamatan, tatacara pengendalian grenad, tahap pengawasan serta pelaksanaan latihan bagi mengurangkan risiko kejadian seumpama itu daripada berulang.
“Keselamatan setiap anggota sentiasa menjadi keutamaan. Tiada kompromi dalam memastikan semua latihan dilaksanakan dengan tahap pematuhan, pengawasan dan keselamatan yang tertinggi,” katanya lagi.
Dalam kejadian pada 16 Jun itu, Allahyarham Koperal Norazmi Abu Bakar daripada Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu Diraja (6 RAMD) dan Allahyarham Siti Khadijah Sungip, daripada Skuadron Pertama Rejimen Askar Jurutera Diraja (1 RAJD), terkorban selepas menyertai latihan berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |















