PKD, NADI perlu bersedia hadapi perkembangan AI, ekonomi digital – Fahmi
CYBERJAYA – Pusat Komuniti Desa (PKD) dan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) perlu berorientasikan masa hadapan bagi memastikan masyarakat luar bandar tidak sekadar menjadi pengguna teknologi, tetapi mempunyai kemahiran dan keyakinan memanfaatkannya untuk meningkatkan taraf hidup serta membuka peluang ekonomi.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, perkembangan kecerdasan buatan (AI), ekonomi digital, keselamatan dalam talian serta perubahan landskap pekerjaan menuntut pusat komuniti kerajaan terus relevan dan responsif terhadap keperluan semasa.
“Penyelarasan ini juga perlu berorientasikan masa hadapan. Perkembangan kecerdasan buatan (AI), ekonomi digital, keselamatan dalam talian serta perubahan landskap pekerjaan menuntut pusat komuniti kerajaan untuk terus relevan dan responsif terhadap keperluan semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Pembukaan Bengkel Kerjasama Strategik PKD, KKDW dan NADI, Kementerian Komunikasi di Menara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), di sini hari ini.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi serta Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang.
Baca juga : PKD, NADI perlu diselaras demi mudahkan urusan rakyat – Ahmad Zahid
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, kerajaan mahu masyarakat khususnya di luar bandar bukan sekadar menggunakan teknologi, malah memiliki kemahiran dan keyakinan untuk memanfaatkannya bagi meningkatkan taraf hidup serta membuka peluang ekonomi.
Katanya, setakat ini sebanyak 1,099 NADI beroperasi di seluruh negara dengan lebih dua juta pengguna, manakala 191 PKD di bawah KKDW turut mempunyai kemudahan, sumber dan jaringan bersama masyarakat.
“Dengan kekuatan yang dimiliki oleh PKD dan NADI, saya percaya terdapat ruang yang besar untuk kedua-duanya saling melengkapi dan memperkukuh penyampaian perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan whole-of-government perlu diterjemahkan dengan tumpuan bukan kepada siapa yang memiliki sesuatu kemudahan, tetapi bagaimana kemudahan dan sumber kerajaan yang tersedia dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat.
Fahmi berkata, NADI juga telah berkembang melangkaui fungsi menyediakan komputer dan capaian Internet dengan menghubungkan rakyat kepada kemahiran, peluang serta perkhidmatan kerajaan menerusi Program Perkhidmatan Pintar NADI yang merangkumi lima bidang utama iaitu keusahawanan, pembelajaran sepanjang hayat, kesejahteraan kendiri, kesedaran serta inisiatif kerajaan.
Menurutnya, model NADI menunjukkan hasil memberangsangkan apabila dinobatkan sebagai Juara WSIS Prizes kategori Capacity Building pada 2025 dan diiktiraf sebagai Pusat Transformasi Digital (DTC) ke-16 dunia oleh ITU pada Mac 2026.
Katanya, apa juga model kerjasama yang dipersetujui perlu berpaksikan satu matlamat bersama iaitu memberikan manfaat kepada rakyat, selain memastikan kemudahan dan sumber kerajaan dimanfaatkan secara optimum, mengurangkan pertindihan serta memastikan PKD dan NADI terus relevan dengan keperluan komuniti.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








