BERITA SEMASA

Sekolah di Johor dibuka berperingkat mulai esok, calon peperiksaan dibenarkan hadir

JOHOR BAHRU – Semua sekolah di Johor akan dibuka semula secara berperingkat mulai esok dengan kehadiran murid pada peringkat awal dihadkan kepada calon peperiksaan susulan situasi jerebu yang melanda negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Dr Muhammad Naqib Md Ghazali berkata, pembukaan semula institusi pendidikan itu dilaksanakan dalam dua fasa bagi memastikan kelancaran peperiksaan serta menjaga keselamatan dan kesihatan murid.

Menurutnya, fasa pertama pada 26 dan 27 Oktober ini hanya membenarkan kehadiran murid yang perlu menduduki peperiksaan mengikut jadual ditetapkan.

“Tempoh ini juga memberi ruang kepada pihak pentadbiran sekolah dan guru-guru untuk melaksanakan persiapan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) mengikut jadual yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, semua sekolah di negeri itu dijadualkan beroperasi sepenuhnya seperti biasa mulai 28 Oktober ini menerusi fasa kedua.

Bagaimanapun, katanya, pelaksanaan pembukaan semula sekolah itu tertakluk kepada perkembangan semasa kualiti udara di Johor.

Sehubungan itu, Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) akan menyelaraskan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan kesihatan dan keselamatan, termasuk pemakaian pelitup muka serta pemantauan aktiviti persekolahan berdasarkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) semasa dan garis panduan yang berkuat kuasa.

Muhammad Naqib berkata, kerajaan negeri bersama agensi berkaitan akan terus memantau keadaan jerebu bagi memastikan tindakan susulan dapat diambil berdasarkan penilaian situasi semasa.

Katanya, langkah itu selaras dengan keutamaan kerajaan negeri untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan murid serta seluruh warga pendidikan di Johor sentiasa terpelihara.

Pada 7 Oktober lalu, kerajaan negeri mengumumkan penutupan institusi pendidikan di Batu Pahat susulan keadaan jerebu yang menjejaskan kualiti udara.

Susulan perkembangan itu, semua sekolah di Johor diarahkan ditutup selama dua hari bermula 8 hingga 9 Oktober sebelum penutupan dilanjutkan dari 12 hingga 23 Oktober lalu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button