BERITA SEMASA

Tiada kasino di Johor – MB

JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor menegaskan tiada kasino akan dibuka atau beroperasi di negeri ini, lapor BH Online hari ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata dengan penegasan itu, kerajaan negeri berharap isu terbabit tidak lagi dipanjang dan dimomokkan.

Beliau menekankan, khabar angin berkenaan boleh menjejaskan kerukunan, nama baik Johor dan negara serta keharmonian masyarakat pelbagai kaum.

Malah, Onn Hafiz menjelaskan, Kerajaan Johor tidak pernah menerima jemputan untuk sebarang perbincangan berhubung perkara berkenaan, apatah lagi terbabit atau dirujuk mengenainya.

Katanya, kerajaan negeri juga tidak pernah menerima sebarang cadangan mahupun menghadiri mana-mana mesyuarat membincangkan perkara itu.

“Berikutan tular berita kononnya kasino bakal dibuka di Forest City, Kerajaan Johor ingin menegaskan bahawa tiada kasino akan dibuka atau beroperasi di negeri ini.

“Seperti yang pernah dinyatakan sebelum ini, Kerajaan Johor yakin Forest City akan diberikan nafas baharu dan kegiatan ekonomi bakal bertambah rancak dengan pembangunan Zon Kewangan Khas (SFZ) serta Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

“Semua sedia maklum bahawa kerajaan negeri dengan sokongan Kerajaan Persekutuan, sedang giat berusaha merancak dan mempertingkatkan ekonomi Johor supaya ia memberi impak positif seperti peluang pekerjaan berkualiti serta berkemahiran tinggi buat Bangsa Johor.

“Justeru, khabar angin yang tular ini dilihat mempunyai unsur sabotaj dan berniat jahat untuk mencemar imej Forest City serta Johor secara keseluruhan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor menafikan kerajaan akan meluluskan sebuah lagi kasino berlesen di Forest City, Johor.

Perdana Menteri menegaskan laporan media yang memetik sumber bahawa terdapat rancangan untuk membuka kasino berlesen kedua itu, adalah tidak betul.

Sebelum ini, laporan Bloomberg yang memetik sumber, mendakwa bahawa Perdana Menteri bertemu dua hartawan terkemuka pada minggu lalu bagi membincangkan rancangan membuka kasino di Forest City.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button