
Anwar bidas pihak fitnah kerajaan isu projek kasino, patut dihukum penjara
PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas fitnah yang dilemparkan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang mendakwa kononya kerajaan mahu membuka kasino di Forest City, Johor.
Tegas Perdana Menteri, individu yang memfitnah tersebut perlu dikenakan tindakan undang-undang termasuk dihukum penjara.
“Tidak ada modal lain..kononnya Anwar sudah meluluskan kasino di Johor. Apa benda ini… tidak pernah saya dengar, tidak pernah orang usulkan dan Yang di-Pertuan Agong (Sultan Ibrahim) tidak pernah memaklumkan kepada saya untuk ada kasino serta perjudian di sana.
“Jadi tohmahan ini dari mana? Daripada penjahat-penjahat sebenarnya. Jadi, mereka ini sebenarnya boleh ganti bilik-bilik saya di Penjara Sungai Buloh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Sambutan Hari Pekerja 2024 bertema ‘Pekerja Kesuma Bangsa’ di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.
Terdahulu, Bloomberg melaporkan Anwar menemui pengasas Berjaya Corporation Bhd, Vincent Tan dan CEO Kumpulan Genting, Lim Kok Thay untuk membincangkan lesen kasino bagi Forest City minggu lalu.
Walau bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Berjaya dan Genting Malaysia menafikan laporan Bloomberg, dengan Anwar menggesa tindakan diambil terhadap syarikat media itu atas dakwaannya.
Kelmarin, Ahli Jawatankuasa Penerangan Bersatu, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan fitnah dan hasutan.
Beliau dituduh di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan susulan kenyataan beliau berkaitan Kasino Forest City yang dilaporkan oleh Bloomberg.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








