BERITA SEMASAPMX

PM umum RM4 juta bina Masjid Gong Chapa Pasir Puteh, RM800,000 projek di Bachok

BACHOK – Kerajaan mengumumkan peruntukkan sebanyak RM4 juta bagi pembinaan baharu Masjid Gong Chapa Temila di Pasir Puteh, Kelantan.

Pegumuman itu dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Pantai Irama, Bachok hari ini bersama pelbagai lapisan masyarakat tempatan.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata,
peruntukan RM800,000 juga diberikan bagi menyiapkan Masjid At-Taqwa, Mukim Beris Pak Pura di Bachok.

“(Peruntukan ini diberikan) dengan harapan agar sumbangan itu dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh ahli kariah setempat,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook milik beliau hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri telah menghadiri Mesyuarat Pembangunan Negeri (MPN) di Kota Bharu, yang turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud serta Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, Kerajaan Madani terus berusaha bekerja demi kesejahteraan seluruh rakyat, termasuk di Kelantan, meskipun negara kini berdepan cabaran politik antarabangsa dan ketidaktentuan ekonomi global.

Beliau berkata, situasi tersebut pasti akan memberi kesan secara langsung dan tidak langsung kepada negara dan juga rakyat termasuk di Kelantan.

Walau bagaimanapun, Anwar berkata, usaha meneruskan projek pembangunan tidak akan terhenti melalui hubungan persaudaraan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Kelantan demi kemaslahatan rakyat.

“Terima kasih kepada semua yang hadir, gegak-gempita memenuhi segenap khemah yang ada, moga Syawal ini terus membawa keberkatan untuk kita semua, Insya-Allah,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button