MMU lancar fakulti AI, kejuruteraan
CYBERJAYA – Universiti Multimedia (MMU), universiti milik Telekom Malaysia (TM) hari ini melancarkan Fakulti Kecerdasan Buatan dan Kejuruteraan (FAIE), sekali gus menjadi antara universiti swasta pertama di negara ini yang menawarkan fakulti dalam bidang tersebut.
Majlis pelancaran disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di kampus MMU Cyberjaya, hari ini.
MMU dalam kenyataannya berkata, fakulti tersebut turut diperkukuh dengan AI Transformation Centre (AIX) yang merupakan inisiatif pelaburan bernilai RM37 juta.
“Penubuhan FAIE merupakan pencapaian penting dalam memperkukuh keupayaan negara dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI) serta aplikasinya di dunia sebenar.
“Manakala AIX bakal menampilkan 13 makmal canggih sebagai hab inovasi kerjasama kerajaan, industri, akademia, pembangunan PKS serta pemerkasaan luar bandar,” katanya.
MMU berkata, fakulti itu memberi tumpuan kepada AI gunaan dengan matlamat melahirkan graduan yang bukan sahaja kukuh dalam asas teori malah berkemahiran mereka bentuk, melaksana dan mengintegrasi penyelesaian AI dalam pelbagai industri.
Presiden MMU, Prof. Datuk Dr Mazliham Mohd Su’ud berkata, fakulti baharu itu turut menawarkan ijazah khusus seperti Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam Kecerdasan Buatan Gunaan dan Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam Robotik Pintar, selain program Sarjana dan PhD yang berfokuskan penyelidikan.
“Dengan penubuhan FAIE, kami memperbaharui program bagi mempersiapkan pelajar menghadapi ekonomi dipacu AI.
“Kehadiran 40 rakan industri strategik hari ini juga membuktikan komitmen mereka bekerjasama dengan MMU dalam melahirkan graduan berkemahiran dan bersedia untuk industri sejak hari pertama,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Amar Huzaimi Md Deris berkata, penubuhan FAIE selaras dengan aspirasi TM untuk menjadi Digital Powerhouse menjelang 2030.
“AI bukan sekadar peranti pintar atau barisan kod, tetapi membangunkan generasi pemikir dan inovator yang mampu menyelesaikan masalah sebenar.
“Sebagai universiti milik TM, MMU berada di teras misi kami membina masa depan digital Malaysia dan melahirkan bakat yang memacu inovasi,” katanya.
Dalam majlis sama, MMU dan MCMC turut memeterai Memorandum Persefahaman melalui AIX bagi memperkukuh keupayaan pengajaran dan penyelidikan FAIE.
Majlis pelancaran diakhiri dengan sesi Temu Anwar, yang mana Perdana Menteri berinteraksi bersama pelajar, berkongsi pandangan, menjawab soalan dan memberi inspirasi agar mereka turut sama membina masa depan digital negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








