BERITA SEMASA

Kerajaan mahu pulihkan kedudukan sekolah pondok, tahfiz

IPOH – Kedudukan sekolah pondok dan tahfiz wajar dipulihkan  kerana ia mempunyai nilai sejarah tersendiri di rantau ini sewaktu berdepan aliran penjajah yang mengagungkan Barat.

Sehubungan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dasar kerajaan kini adalah mahu memastikan pusat pendidikan Islam berkenaan diberi perhatian baik dari segi kewangan serta bantuan pemodenan yang mengikut keperluan semasa.

Tambah beliau, kesungguhan itu dimulakan apabila kerajaan hari ini mengembalikan semula bantuan yang dihentikan pada 2003.

“Ini adalah dasar kerajaan. Mesti pulih kedudukan sekolah agama, sekolah pondok dan maahad tahfiz. Itu menjadi dasar negara sekarang ini,” katanya semasa berucap dalam majlis Kenduri Rakyat bersama warga institusi pendidikan Islam Tahfiz dan Pondok negeri Perak di Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan di sini.

Jelasnya, semasa membentangkan Belanjawan 2026 semalam, beliau turut mengumumkan beberapa fokus dan bantuan kewangan mencecah jutaan ringgit bagi manfaat para pelajar sekolah pondok.

Anwar berkata, kerajaan memulakan dengan sebanyak RM34.8 juta serta akan terus mendapatkan maklumat dan kerjasama daripada sekolah atau pusat pengajian terbabit untuk dinilai dari segi bentuk bantuan diperlukan tanpa menganggu aspek pembelajaran.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button